Kedatangan pelancong China ke Pulau Pinang melonjak ketara dengan lebih 108,000 pelawat direkodkan dari Januari hingga November 2024. Angka ini meningkat sebanyak 222.7% berbanding hanya 33,474 pelawat dalam tempoh yang sama tahun sebelumnya.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif negeri, Wong Hon Wai, berkata peningkatan ini disokong oleh pertambahan penerbangan antarabangsa dari China.
“Pulau Pinang mencatatkan 61 penerbangan mingguan dari bandar-bandar di China sehingga November lalu, berbanding hanya 17 penerbangan pada 2023. Ini adalah peningkatan sebanyak 258.82% dalam penerbangan antarabangsa, menunjukkan Pulau Pinang semakin kukuh sebagai hab pelancongan dan ekonomi serantau,” katanya.
Tambahnya, pelancaran laluan penerbangan antarabangsa baharu oleh Loong Air dari Xi’an ke Pulau Pinang semalam turut memacu perkembangan positif ini.
“Xi’an kini menjadi bandar ketujuh di China dengan sambungan terus ke Pulau Pinang, menyertai rangkaian 11 laluan utama antara bandar di China dan negeri ini,” jelasnya.
Peningkatan ini mencerminkan kejayaan Pulau Pinang dalam menarik pelancong antarabangsa, sekaligus mengukuhkan kedudukan negeri itu di rantau ini. – JURNAL
Sumber: Kosmo!