Presiden Indonesia, Prabowo Subianto tiba di Malaysia hari ini untuk lawatan kerja sehari, menzahirkan hubungan erat antara kedua-dua negara jiran.
Pesawat beliau mendarat di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 10.15 pagi. Ketibaan Prabowo disambut oleh Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, dan Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Datuk Hermono.
Prabowo melintasi barisan kawalan kehormatan statik, terdiri daripada 28 pegawai dan anggota Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja (Istiadat), yang diketuai Kapten Raja Azri Syahir.
Menurut Wisma Putra, lawatan ini mencerminkan hubungan istimewa yang ditunjangi kerjasama kukuh dalam pelbagai bidang seperti ekonomi, sosio-budaya, pertahanan, dan keselamatan.
“Lawatan ini bertujuan memperkukuh kerjasama dua hala serta meneroka potensi baharu antara kedua-dua negara,” menurut kenyataan itu.
Prabowo dijadualkan mengadakan pertemuan bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, diikuti makan tengah hari di Rumah Tangsi, Kuala Lumpur. Beliau dijangka berangkat pulang ke Indonesia pada jam 3.00 petang.
Lawatan ini diharap memperkukuh lagi hubungan strategik yang sudah lama terjalin antara Malaysia dan Indonesia. – JURNAL