Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) mengumumkan hak penganjuran Piala Dunia Bawah 20 tahun yang dipegang Indonesia, dibatalkan serta merta.
Tidak memperincikan sebab-sebab pembatalan itu dibuat namun difahamkan ia berpunca akibat pendirian tegas Indonesia yang melarang penyertan Israel ke bumi Jakarta.
Keputusan itu dibuat selepas satu perjumpaan khas FIFA diwakili presidennya — Gianni Infantino bersama Presiden Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) Erick Thohir di Doha, semalam.
Menurut kenyataan dikeluarkan FIFA awal pagi tadi, Indonesia dibatalkan hak penganjuran Piala Dunia Bawah 20 tahun yang menyaksikan 24 pasukan terbaik dunia akan mula berkampung di Jakarta bermula 20 Mei depan.
Difahamkan, pertikaian tercetus selepas keengganan penduduk tempatan untuk menerima kehadiran wakil Israel.
Indonesia yang penduduk majoritinya beragama Islam sememangnya tidak mempunyai hubungan diplomatik bersama Israel susulan krisis di Palestin.
Sesi undian yang sepatutnya diadakan Jumaat ini juga dibatalkan akibat demonstrasi aman berterusan penduduk tempatan, di hadapan kawasan majlis pengundian di Bali.
Dalam kenyataan itu lagi, FIFA turut memaklumkan tarikh penganjuran Piala Dunia Bawah 20 tahun bermula 20 Mei hingga 11 Jun tidak berubah selain sedang meneliti beberapa pilihan negara lain yang sudi menjadi tuan rumah edisi ke-23 nanti.
Difahamkan juga, Argentina yang tidak layak pada edisi kali ini berminat untuk menjadi tuan rumah. – JURNAL
Sumber: Buletin TV3