Orang ramai diminta membuat laporan secara senyap kepada pihak berwajib sekiranya mendapati wujud sebarang aktiviti mencurigakan atau unsur menghidupkan semula ajaran sesat Ayah Pin di negeri ini.
Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM), Datuk Shaikh Harun Shaikh Ismail menyatakan menerusi tindakan itu dapat memudahkan urusan pihak berwajib termasuk pihak pejabat agama dan polis menjalankan siasatan ajaran sesat tersebut secara lancar bagi mengesan pelaku terlibat.
“Saya memohon kepada orang ramai untuk beri kerjasama. Jika ada unsur-unsur ajaran Ayah Pin itu dihidupkan semula segera lapor kepada kita (pejabat agama).
“Laporkan secara senyap-senyap, jangan lapor sesuatu isu dan berita tidak sahih serta diperbesarkan (media sosial),” katanya ketika ditemui media di pejabat MAIDAM di sini pada Khamis.
Mengulas lanjut, Shaikh Harun berkata, pihak berwajib juga sudah menjalankan siasatan berhubung isu berkenaan namun setakat ini tidak mengesan sebarang aktiviti mencurigakan atau bukti menunjukkan ajaran sesat itu kembali tersebar.
“Situasi di Terengganu ini masih dalam keadaan terkawal. Kita bersama pihak berkuasa sentiasa melakukan pemantauan bagi mencegah ajaran sebegini daripada menular.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung aktiviti tersebut dinasihatkan segera laporkan kepada pihak berkuasa bagi memudahkan tindakan lanjut diambil,” jelasnya.
Pada 18 Mac lepas, Exco Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Terengganu, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, kerajaan Terengganu dengan kerjasama pihak berkaitan akan mengambil pendekatan melalui pelbagai kaedah untuk mendekati dan menjalin hubungan baik dengan ahli keluarga serta saudara-mara pemimpin ajaran sesat Ayah Pin, atau nama sebenarnya Ariffin Muhamad. – JURNAL
Sumber: SINAR HARIAN