Hujan lebat mengakibatkan banjir besar melanda utara Queensland dengan pihak berkuasa meramalkan ia berisiko menjadi banjir terburuk dalam sejarah negeri Australia itu.
Perbadanan Penyiaran Britain (BBC) melaporkan, beribu-ribu penduduk telah dipindahkan tetapi masih ramai lagi yang terkandas akibat bencana alam itu.
Cuaca ekstrem didorong oleh taufan tropika mencetuskan hujan lebat di beberapa kawasan.
Imej dirakam di lokasi yang dilanda bah memaparkan beberapa pesawat ditenggelami air di lapangan terbang Cairns, seekor buaya berada di tengah bandar dan orang ramai berpindah dari rumah mereka dengan menaiki bot.
Setakat petang ini, tiada kematian dan orang hilang dilaporkan, manakala agensi berita AFP melaporkan, lebih 300 penduduk diselamatkan pasukan penyelamat semalaman.
Kerosakan dilaporkan di sepanjang pantai yang meliputi kira-kira 400 kilometer merentasi utara Queensland.
Ketua Menteri Queensland, Steven Miles memberitahu Perbadanan Penyiaran Australia bahawa bencana alam di wilayah itu adalah paling buruk pernah berlaku.
Miles berkata, pihaknya bimbang mengenai misi menyelamat mangsa yang terperangkap di lokasi paras air tinggi seperti mereka yang berada di bandar terpencil Wujal Wujal, kira-kira 175 kilometer di utara Cairns. – JURNAL
Sumber: KOSMO