Anggota polis berpangkat Lans Koperal yang menembak mati isterinya baru-baru ini memohon kepada mahkamah untuk melawat pusara mangsa.
“Saya nak cakap satu sahaja, saya nak lawat kubur bini (isteri) saya.”
Begitulah permintaan tertuduh, Mohamad Nizarman Hassim, 27, ketika dibawa keluar dari kandang pesalah Mahkamah Majistret, Kangar, hari ini (Jumaat) atas pertuduhan membunuh isterinya di dalam sebuah rumah di Simpang Empat, pada 5 Mac lalu.
Sebelum itu, ketika pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Ana Rozana Mohd Nor, tertuduh hanya menjawab faham.
Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa membunuh Safsufarnisya Salleh, 26, di sebuah rumah di Kampung Bendang Baru, Simpang Empat, Kangar.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu pada 5 Mac lalu sekitar jam 6.45 pagi dan 8.50 pagi.
Oleh hal demikian, tertuduh didapati melakukan kesalahan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dilaksanakan oleh Pengarah Pendakwaan Negeri, Mohd Nordin Ismail manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Terdahulu, tertuduh memakai baju kemeja T berwarna merah dan seluar hitam, kelihatan tenang apabila pertuduhan dibacakan terhadapnya.
Nordin memohon mahkamah untuk mempertimbangkan agar tertuduh dihantar ke sebuah hospital psikiatri untuk penilaian mental selama sebulan.
Ana Rozana kemudian membenarkan permohonan Mohd Nordin dan mahkamah kemudian menetapkan 14 April depan sebagai tarikh sebutan semula kes sementara menunggu laporan penilaian psikiatri tertuduh.
Terdahulu, tertuduh tiba di mahkamah sekitar jam 8.50 pagi menaiki trak polis sambil dikawal ketat oleh anggota polis yang bertugas.
Media sebelum ini melaporkan tertuduh yang bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perlis menembak mati isterinya, Safsufarnisya Salleh, 26, yang juga suri rumah kira-kira jam 6.45 pagi di dalam bilik di kediaman keluarga pasangan terbabit di Kampung Bendang Baru, Simpang Empat pada 5 Mac lalu.
Kejadian berlaku selepas suspek yang berasal dari Setiu, Terengganu itu baharu sahaja tamat syif tugasannya dan berdasarkan saksi kejadian iaitu bapa mentuanya, dia tiba-tiba mengeluarkan pistolnya jenis Walther P99 dan melepaskan lebih lima das tembakan pada jarak dekat ke arah isterinya.
Tembakan mengenai bahagian muka terutama di bahagian mata sebelah kiri menyebabkan mangsa maut di tempat kejadian. – JURNAL
Sumber: BH Online