Kerajaan bersedia untuk melaksanakan darurat sekiranya keadaan cuaca panas semakin membimbangkan.
Bagaimanapun, buat masa ini, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, pelaksanaan darurat belum diputuskan.
“Belum lagi (isytihar darurat kecemasan). Tapi kita sudah sedia. Kita gunakan Arahan MKN No. 20 sebagai melaksana langkah-langkah untuk mengatasi masalah ini,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP) Bil 1/2023 pada Selasa.
Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi (METMalaysia), Muhammad Helmi Abdullah sebelum ini dilaporkan berkata, angin Monsun Barat Daya diramal bermula 15 Mei dan berterusan sehingga September depan, menyebabkan taburan hujan lebih rendah berlaku di kebanyakan tempat .
Menurut beliau, lazimnya angin bertiup secara konsisten dari arah barat daya dengan kelembapan udara lebih rendah dan keadaan atmosfera lebih stabil, selain menyebabkan kurangnya pembentukan awan hujan sepanjang tempoh berkenaan.
Ditanya sekiranya suhu mencecah 40 darjah celcius, Ahmad Zahid berkata, kerajaan akan mengguna pakai Arahan MKN No. 20 untuk mengisytiharkan darurat.
“Kita sedang pantau (keadaan) 24 jam (sehari). Kalau ada darurat kita akan buat pengumuman. Buat masa ini belum lagi,” katanya.
Terdahulu, Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad memaklumkan, Malaysia dijangka mengalami cuaca panas berpanjangan sehingga Ogos susulan musim peralihan monsun.
Ujarnya, cuaca panas itu membabitkan semua negeri, namun yang paling terkesan ialah negeri di utara dan pantai timur.
Berdasarkan Perkara 25 Arahan MKN No. 20, Pengisytiharan Darurat Bencana dibuat secara peraturan pentadbiran dan eksekutif oleh Perdana Menteri atas syor JPBP, tertakluk kepada undang-undang dan tatacara kerajaan yang sedang berkuat kuasa.
Apabila diisytiharkan sebagai Darurat Bencana, pengurusan bencana serta bantuan dan pemulihan kepada mangsa-mangsa bencana akan dikendali dan dibiayai oleh Kerajaan Persekutuan mengikut kementerian atau jabatan berkaitan. – JURNAL
Sumber: Buletin TV3