Peranan dimainkan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) sangat penting dalam membantu usahawan mendapat latihan dan bantuan kewangan.
Ketua Setiausaha KUSKOP, Datuk Seri Suriani Datuk Ahmad berkata, peranan kementerian membentuk satu ekosistem yang holistik dan kondusif untuk menyokong sosio-ekonomi negara dan usahawan yang dianggap sebagai tulang belakang kepada ekonomi negara.
“Kita keluar rumah kita berjumpa dengan usahawan dulu seperti jumpa makcik jual nasi lemak dan roti canai, itu semua usahawan. Kita mulakan hari kita dengan berjumpa dengan usahawan,” katanya.
Menurutnya, KUSKOP mempunyai banyak perancangan untuk membantu usahawan.
“Tujuan utama KUSKOP pada tahun 2024 ialah menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara keusahawanan yang unggul dan jangan jadikan 60 peratus sebagai batu penghalang untuk menjadi usahawan berjaya,” katanya.
Tambahnya, bagi usahawan yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengeni program yang disediakan oleh KUSKOP boleh melayari laman sesawang di www.kuskop.gov.my.
“Sekarang ini zaman digital, maklumat di hujung jari. Kita kurangkan pertemuan secara fizikal, kita kurangkan cetakan supaya pokok-pokok tak banyak mati dan kita guna digital untuk cari maklumat.
“Usaha kena datang daripada diri kita sendiri untuk mendapatkan maklumat itu dengan pergi ke laman sesawang KUSKOP,” katanya.
Dalam pada itu, Suriani juga memaklumkan pihaknya akan mencetak buku Program Keusahawanan 2024 dalam bentuk digital berbanding versi fizikal pada tahun lalu.
“Kementerian ini mempunyai 11 agensi yang bertanggungjawab membantu usahawan-usahawan. Agensi-agensi ini akan membantu usahawan dalam menyalurkan dana dalam bentuk pinjaman, geran dan sebagainya,” katanya.
Bagi usahawan dan orang ramai yang ingin mengetahui lebih lanjut aspek bantuan kepada usahawan, jangan lupa saksikan temu bual bersama Suriani menerusi program bual bicara, Sembang Protege x KRU dalam Episod 12 – ‘Anda Nekad? KUSKOP Tekad Bantu’ di platform laman sosial PROTEGE di YouTube, Facebook dan Instagram.- JURNAL