Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail, bertitah bahawa penukaran cuti hujung minggu di Johor kepada Sabtu dan Ahad bermula tahun depan adalah berdasarkan kehendak rakyat yang mahu lebih masa bersama keluarga dan anak-anak.
Menurut baginda, perubahan ini juga dijangka memberi impak ekonomi yang positif, selari dengan pelaksanaan projek pembangunan di negeri Johor yang memberi manfaat kepada rakyat.
“Dalam mempertimbangkan isu kehendak rakyat Johor untuk meluangkan lebih masa bersama keluarga, kesan ekonomi yang positif turut seiring dengan projek pembangunan yang menguntungkan negeri,” titah baginda.
Baginda turut menambah bahawa walaupun Johor akan kembali bercuti pada Sabtu dan Ahad, masih ada negeri lain yang mengekalkan cuti hujung minggu pada Jumaat dan Sabtu.
“Jika ada pihak yang kurang senang atau tidak puas hati demi kepentingan peribadi atau agenda politik, dipersilakan pindah ke negeri yang masih bercuti Jumaat dan Sabtu,” jelas Tunku Mahkota dalam kenyataan di Facebook.
Pengumuman rasmi mengenai perubahan ini dibuat awal minggu ini, di mana cuti hujung minggu di Johor akan ditukar semula kepada Sabtu dan Ahad mulai 1 Januari 2025.
Sebelum ini, Johor menukar cuti hujung minggu kepada Jumaat dan Sabtu pada 1 Januari 2014 setelah mendapat perkenan Sultan Ibrahim. Buat masa ini, negeri lain yang masih bercuti pada Jumaat dan Sabtu termasuk Terengganu, Kelantan, dan Kedah. – JURNAL