Kumpulan doktor kontrak yang merancang untuk mengadakan mogok selama tiga hari bermula esok, tidak berganjak daripada keputusan mereka untuk meneruskan tindakan itu.
Bercakap kepada BH, jurucakap kumpulan itu yang dikenali sebagai Mogok Doktor Malaysia di Instagram, mendakwa seramai 10,000 hingga 12,000 petugas kesihatan akan menyertai mogok berkenaan.
Jurucakap kumpulan itu yang dikenali sebagai Dr Jamal, berkata mereka tidak akan hadir bertugas selama tiga hari, dengan mengambil cuti sakit atau cuti kecemasan.
Mereka tidak akan mengadakan sebarang perhimpunan beramai-ramai atau berdemonstrasi kerana ia dikatakan akan digunakan oleh ahli politik sebagai dakwaan untuk menghukum mereka.
“Kami sudah hilang kepercayaan terhadap Kementerian Kesihatan (KKM) dan ahli politik yang menabur janji palsu. Doktor kontrak ialah pekerjaan mulia, bukan kuli,” katanya.
Ditanya sama ada mereka tidak bimbang jika berdepan tindakan akibat mogok berkenaan, Dr Jamal berkata, tiada tindakan akan diambil jika doktor kontrak mengambil cuti sakit atau cuti kecemasan.
Mengenai perkhidmatan kepada pesakit yang mungkin terjejas jika mereka tidak hadir bertugas, Dr Jamal berkata, pihaknya sudah mengeluarkan notis awal supaya orang awam tidak datang ke fasiliti kerajaan, sebaliknya disaran mendapatkan rawatan di klinik atau hospital swasta.
“Kami berharap orang awam tidak pergi ke hospital kerajaan dan sebab itu, kami sudah mengeluarkan notis awal kepada semua.
“Jika ada apa-apa kematian disebabkan rawatan yang lewat, kami tidak akan mengambil sebarang tanggungjawab kerana kami tidak bekerja pada tiga hari berkenaan.
“Pesakit mengambil risiko sendiri jika pergi ke hospital awam atau klinik kesihatan. Kami sudah memberi notis awal tapi kami berharap tiada kemalangan jiwa berlaku,” katanya. – JURNAL
Sumber: BH ONLINE