Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) memperkenalkan perkhidmatan tren khas Excursion sempena sambutan Tahun Baru Cina. Tren istimewa ini akan beroperasi pada 27 dan 28 Januari untuk memenuhi keperluan penumpang yang pulang ke utara bagi perayaan ini dan musim cuti sekolah yang panjang.
KTMB memaklumkan sebanyak dua perjalanan khas disediakan dengan 792 tiket ditawarkan, menghubungkan stesen KL Sentral dan Butterworth.
Menariknya, penumpang akan menikmati pengalaman unik melalui kemudahan buffet coach dan chillax coach yang direka untuk memberikan keselesaan dan keseronokan sepanjang perjalanan.
Laluan dan Hentian Tren
Tren khas ini akan bermula dari KL Sentral dan singgah di tujuh stesen utama:
– Tanjung Malim
– Kampar
– Batu Gajah
– Ipoh
– Kuala Kangsar
– Taiping
– Bukit Mertajam
Tren ini kemudiannya akan berakhir di Stesen Butterworth.
Tiket tren boleh dibeli secara tanpa tunai melalui aplikasi KTMB Mobile (KITS), mesin kiosk, kaunter tiket, serta laman web rasmi KTMB.
Langkah ini adalah usaha KTMB memastikan perjalanan perayaan lebih lancar dan memuaskan, sambil memberikan pengalaman baharu kepada penumpang. Jangan lepaskan peluang untuk menikmati perjalanan eksklusif ini sambil meraikan Tahun Baru Cina bersama orang tersayang! – JURNAL