KPJ Healthcare Berhad bersama Cenviro Recycling & Recovery Sdn. Bhd menjalin kerjasama strategik dalam melaksanakan inisiatif penting pengurusan sisa klinikal.
Program Kerjasama antara Rangkaian Hospital KPJ dan Jabatan Alam Sekitar Wilayah, Persekutuan Kuala Lumpur (JASWPKL) bertujuan untuk mencapai matlamat dalam pengurusan buangan dari hospital yang lebih cekap dan lestari selain satu usaha bagi mengurangkan kuantiti SW 404.
Inisiatif ini mula dilaksanakan bersama pihak Cenviro sebagai Pilot Project yang hanya melibatkan Hospital KPJ Central Region (pada peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Selangor) sahaja dan dijangka akan dilaksanakan ke seluruh rangkaian Hospital KPJ di Malaysia.
Presiden dan Pengarah Urusan KPJ Healthcare Berhad, Chin Keat Chyuan berkata, KPJ bukan sekadar melakar sejarah tetapi juga sedang melaksanakan reformasi baharu.
“Usaha ini diambil bukan sahaja demi memulihara alam sekitar, tetapi lebih kepada mengukuhkan kedudukan KPJ sebagai pemain utama dalam memacu inisiatif secara proaktif demi masa hadapan industri perkhidmatan kesihatan di Malaysia.
“Inisiatif yang turut mendapat kerjasama daripada Cenviro dan disokong penuh oleh Jabatan Alam Sekitar ini telah membuka lembaran baharu dalam memperkasakan komitmen kami untuk menyepadukan elemen kelestarian dalam setiap aspek operasi kami.
“Menerusi usaha gigih yang berterusan ini, kami berharap dapat memberi inspirasi kepada Gerakan yang mampu merentas industri dan generasi demi masa depan yang lebih mampan,” katanya.
Majlis Menandatangani MoU antara pihak KPJ Healthcare Berhad dan Cenviro pada 9 November lalu turut dihadiri Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS), Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Dr Norhazni Mat Sari dan Pengarah dan Pengarah Urusan Kumpulan Cenviro Sdn Bhd Dr. Johari Jalil.
Turut serta Pengarah JASWPKL, Puan Zuraini Ahmad Tajudin, serta pegawai-pegawai kanan daripada Jabatan Alam Sekitar.
Dr Norhazni Mat Sari, berkata, selaras dengan Indeks Prestasi Utama (KPI) Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) untuk meningkatkan kadar kitar semula buangan terjadual daripada 35% kepada 50% menjelang tahun 2030, usaha yang dijalankan ini adalah menyokong ke arah pendekatan pelaksanaan kitaran ekonomi buangan terjadual di fasiliti kesihatan.
“Saya mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada KPJ Healthcare Berhad kerana menjadi pelopor dalam Inisiatif Program Kitar Semula Buangan daripada Hospital di Malaysia.
“Dan saya turut berharap inisiatif ini dapat menjadi contoh dan diteruskan di hospital-hospital kerajaan dan swasta lain di Malaysia,” katanya.
Dr. Johari Jalil, pula berkata, apa yang menjadikan kerjasama ini begitu penting adalah usaha ini merupakan yang pertama seumpamanya di negara ini.
“Buangan klinikal, khususnya SW 409, yang terdiri daripada bekas, beg atau peralatan yang tercemar dengan bahan kimia, racun perosak, minyak mineral, atau buangan terjadual, sentiasa menjadi perkara yang membimbangkan.
“Cenviro berbesar hati untuk bekerjasama dengan KPJ Healthcare ke arah merealisasikan pencapaian Ekonomi Kitaran. Dengan pengesahan Jabatan Alam Sekitar (JAS), kami kini mempunyai jalan untuk memberi impak yang tersendiri,” katanya.
Inisiatif ini bermula dengan idea yang berani: untuk menukar sisa buangan menjadi bernilai. Ia direka dengan teliti untuk menangani isu pengurusan sisa klinikal di bawah kategori buangan terjadual SW404 dan SW409 di hospital yang sering diabaikan.
KPJ Healthcare memulakan misi untuk mengasingkan dan mengitar semula, menyasarkan sejumlah besar buangan klinikal seperti botol dan cawan ubatan serta bahan plastik dari wad hospital dan pusat dialisis.
Projek perintis yang mula dilaksanakan pada Ogos 2023 di sembilan buah hospital KPJ di Zon Tengah telah mempamerkan impak yang memberangsangkan.
Pada bulan Julai sebelumnya, hospital-hospital tersebut menghasilkan sebanyak 89,512.54 kg sisa klinikal. Selepas projek dimulakan, kuantiti buangan telah turun mendadak kepada 53,452.88 kg, menyaksikan pengurangan sebanyak 36,059.66 kg dalam masa sebulan sahaja.
Jumlah penurunan yang ketara ini bukan sahaja menunjukkan impak keberkesanan serta-merta, malah turut membuktikan kesediaan KPJ Healthcare untuk memimpin melalui teladan dalam industri, sekaligus mentakrifkan semula peranan penyedia penjagaan kesihatan dalam pemuliharaan alam sekitar.
Kejayaan yang diperlihatkan di hospital-hospital perintis termasuk KPJ Ampang Puteri, KPJ Damansara 1, KPJ Damansara 2, KPJ Tawakkal, KPJ Kajang, KPJ Sentosa, KPJ Selangor, KPJ Rawang dan KPJ Klang telah meletakkan tanda aras untuk perlaksanaan yang progresif kepada semua rangkaian Hospital Pakar KPJ di seluruh negara.
Inisiatif ini hanyalah satu permulaan. Visi KPJ Healthcare melangkaui jangka masa pendek, dalam misi untuk terus menerokai dan melaksanakan amalan inovatif yang menyumbang kepada masa depan yang mampan. – JURNAL