Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abdul Halim akui terkejut apabila isu melibatkan pempengaruh mendakwa kemenangannya dinafikan semasa Anugerah Perdana Belia Negara (APBN) dibawa dalam Dewan Rakyat.
Ujar beliau, ia berikutan perkara tersebut bukan berkepentingan awam pada masa sekarang dan hal berkenaan juga telah dikendalikan oleh pihaknya.
“Malah untuk pengetahuan, hari ini, di bangunan Parlimen ini, kalau saya nak jemput Masjid Tanah (Datuk Mas Ermieyati Samsudin) pun boleh.
“Yang dimaksudkan itu (Zhiddin Aziz) pun akan datang ke sini (adakan) pertemuan dengan saya. Jadi, tidak ada masalah.
“Kalau mana-mana (Ahli Parlimen), Arau (Datuk Seri Shahidan Kassim) sekalipun yang telah membangkitkan perkara ini semalam (Selasa) itu pun nak datang jumpa, boleh jumpa. Nak selfie, nak buat video pun boleh, tidak ada masalah,” katanya di Dewan Rakyat pada Rabu.
Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan tambahan Mas Ermieyati (PN-Masjid Tanah) berhubung bagaimana isu APBN Peringkat Kebangsaan 2023 itu boleh berlaku dan bagaimana langkah kerajaan untuk mengelakkan perkara ini daripada berulang lagi pada masa hadapan.
Sebelum ini tular di aplikasi TikTok dan Instagram berkenaan luahan, Zhiddin yang kecewa dengan pembatalan kemenangannya pada acara APBN 2023.
Zhiddin mendakwa telah menerima panggilan berhubung perkara berkenaan kurang 24 jam sebelum majlis berlangsung pada 11 November lalu dan tiada sebarang penjelasan diberi mengenainya.
Dalam pada itu, menurut Adam, jawatankuasa untuk pengesahan pemenang juga telah memutuskan tiada pemenang bagi dua kategori iaitu Ikon Belia Influencer dan Ikon Belia Sanjungan Budi.
“Bukan hanya satu kategori, tetapi dua kategori yang tiada pemenang dan ini adalah keputusan muktamad, (kerana) tidak ada calon yang memenuhi kriteria yang telah pun ditetapkan.
“Kita juga tidak pernah keluarkan sebarang surat pemakluman kepada mana-mana individu tertentu sebagai pemenang.
“Jadi kita pun tertanya-tanya bagaimana boleh dianggap dirinya pemenang dan sebagainya,” ujarnya.
Adam Adli turut meminta agar isu tersebut tidak dijadikan isu sensasi, sebaliknya ia boleh dirungkai menerusi pertemuan yang lebih matang.
Jelas beliau, pihaknya telah pun mengeluarkan kenyataan media bagi menjawab isu berkenaan.
“Saya harap mana-mana pihak yang menganggap ini sebagai satu bentuk penganiayaan dan sebagainya, itu bukan perkara yang menjadi tujuan dan matlamat APBN kali ini,” ulasnya. – JURNAL
Sumber: SINAR HARIAN