Pempengaruh kontroversi Indonesia, Lina Mukherjee didakwa mempersenda agama Islam berdasarkan videonya memakan daging babi di TikTok, baru- baru ini.
Pengarah Siasatan Jenayah Khas Indonesia, Komisioner Agung Marlianto berkata, penentuan dakwaannya akan mengikut prosedur dan undang-undang negara.
Berikutan kes ini, polis turut memanggil tiga pakar dalam bidang maklumat dan transaksi elektronik bahasa serta undang-undang jenayah untuk menganalisis kandungan video yang dimuat naik.
Lina yang hadir di balai polis dengan memakai baju hijau dan seluar putih serta ditemani dua pembantunya enggan mengulas ketika ditemui media.
Lina sebelum ini mencetus kontroversi apabila memuat naik video di TikTok dia memakan daging babi atas sebab ingin tahu.
Lina turut memakan daging haiwan berkenaan sambil membaca Bismillah.
Selepas video itu tular, peguam M Syarif Hidayat membuat laporan polis dan Majlis Ulama Indonesia (MUI) Sumatera Selatan pada 18 April lalu turut mengeluarkan kenyataan mengutuk tindakan itu.
Video itu sudah mencecah 6.8 juta tontonan sejak 6 Mac lalu. – JURNAL
Sumber: HARIAN METRO