Dua wanita dan seorang lelaki ditahan polis selepas terbabit dalam satu kejadian culik serta melarikan seorang wanita warga asing di Jalan 2/3A Pusat Bandar Utara, malam Jumaat lalu.
Isteri pengadu bersama mentuanya menjadi dalang utama kejadian melarikan wanita yang merupakan kekasih gelap suaminya.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang lelaki warga tempatan berusia 34 tahun pada hari Sabtu, pukul 12.38 pagi.
Beliau berkata, dalam kejadian pukul 11.45 malam, pengadu telah meninggalkan teman wanita di dalam kereta dalam keadaan pintu tidak berkunci dan enjin masih dihidupkan.
“Tiba-tiba pengadu dimaklumkan oleh saksi bahawa keretanya dilarikan seorang lelaki menuju ke jalan besar menghala ke Gombak.
“Pengadu segera menghubungi telefon bimbit mangsa, tetapi gagal apabila ia telah dimatikan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Jelasnya, kereta pengadu berjaya dijejaki dan telah ditinggalkan berhampiran sebuah pasar raya di Rawang, namun mangsa tidak ditemui.
“Pada pukul 1.50 hingga 5.30 pagi kelmarin, polis berjaya menahan kesemua suspek berusia antara 37 hingga 52 tahun di kawasan Temerloh, Pahang dan Bandar Baru Sentul,” ujarnya.
Eng Lai berkata, kejadian berpunca daripada masalah rumah tangga dan bertujuan memisahkan hubungan intim antara pengadu dan mangsa.
Berpandukan maklumat ketiga-tiga suspek, mangsa berusia 26 tahun berjaya diselamatkan di Bandar Dataran Segar, Port Dickson pada pukul 7.10 malam kelmarin.
“Beberapa unit telefon bimbit milik suspek dan mangsa ditemui bersama sebuah kereta yang digunakan oleh suspek untuk melarikan mangsa,” katanya.
Menurutnya, mangsa mengalami kecederaan ringan di hidung, muka, kepala, badan dan telah dihantar ke Hospital Kuala Lumpur bagi menerima rawatan.
Eng Lai berkata, kesemua suspek direman sehingga esok dan kes kini disiasat di bawah Seksyen 362 Kanun Keseksaan. – JURNAL
Sumber: Utusan TV