Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) adalah lokasi strategik bagi pameran eksklusif untuk memperkenalkan ikon seni tanah air, Seniman Agung P Ramlee, dan karya peninggalannya kepada pengunjung luar negara, kata Menteri Perpaduan Negara, Aaron Ago Dagang.
Katanya karya seni peninggalan Allahyarham P Ramlee merupakan khazanah dan buah fikiran seniman terbabit mengandungi mesej keharmonian, penyatuan, kebersamaan serta saling menghormati antara kaum.
“Terlalu banyak nilai positif yang terkandung dalam setiap filem karya P Ramlee.”
“Ia selari dengan hasrat kerajaan untuk melahirkan masyarakat Madani yang bersatu padu dan hormat-menghormati tidak kira bangsa, budaya dan agama,”
katanya kepada pemberita selepas melancarkan pameran itu di Sepang, baru-baru ini.
Pameran eksklusif bertemakan Hanya Dikau itu dianjurkan Arkib Negara Malaysia dengan kerjasama Malaysia Airport Bhd dan berlangsung di Aras 5, Terminal 1 KLIA selama tiga bulan bermula semalam.
Objektif pameran itu ialah bagi memperingati 50 tahun pemergian seniman agung tanah air itu, selain menyebarluaskan maklumat sejarah ketokohan P Ramlee yang banyak menyumbang kepada industri seni negara.
Pameran tersebut memaparkan karya seni peninggalan P Ramlee melalui konsep visual. Antaranya Sekolah Umum Buta Huruf, Kedai Musik Abdul Wahub, Tandas Pangkah dan Studio Jalan Ampas yang diinspirasikan daripada pelbagai filem P Ramlee. – JURNAL
Sumber: BERNAMA