Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin menolak pelawaan Naib Presiden PAS, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar untuk beliau menyertai mana-mana parti dalam komponen PN.
Sambil mengucapkan terima kasih atas pelawaan itu, bekas Ahli Parlimen Rembau itu menegaskan akan terus kekal dengan UMNO.
“Saya ucap terima kasih atas pelawaan PAS untuk sertai Perikatan Nasional (PN) tetapi saya masih setia sebagai ahli biasa UMNO,” tegasnya.
Terdahulu, Ahmad Samsuri yang juga Menteri Besar Terengganu dilaporkan berkata PN dan PAS bersedia menerima Khairy jika dikenakan tindakan penyingkiran oleh partinya.
Katanya, seluruh kepemimpinan PAS dan PN menganggap penyertaan Khairy dalam gabungan itu diibaratkan sebagai kecil tapak tangan, nyiru ditadahkan.
Difahamkan, UMNO dijangka mengadakan mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) petang esok bagi membincangkan tindakan ke atas Khairy, menyebarkan dakwaan palsu mengenai kewujudan ‘perwakilan import’ dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022, pada pertengahan bulan lalu.
Ahmad Samsuri turut mengakui Khairy adalah pemimpin hebat dan berfikiran terbuka serta mampu melaksanakan tugas yang dipertanggungjawabkan dengan cemerlang. – JURNAL
Sumber: BH Online