Penyampai radio Hot FM, Khairy Jamaluddin, 47, memberi sokongan terhadap penganjuran konsert siri jelajah Coldplay iaitu Music Of The Spheres World Tour (MOTSWT) di Stadium Bukit Jalil pada 22 November depan.
Buktinya, Khairy atau lebih mesra disapa KJ mengakui sudah mendapatkan tiket menyaksikan konsert sebaik dijual pada 16 Mei lalu.
“Ya, saya beli tiket walaupun bukan mudah. Saya beli secara sah,” katanya.
Dalam pada itu, bekas Menteri Kesihatan turut kekal dengan pendiriannya bahawa Malaysia perlu meraikan kehadiran bintang ternama antarabangsa.
“Masyarakat Malaysia ada pelbagai jenis. Ada konservatif, liberal dan sebagainya.
“Yang konservatif, mereka ada sedikit masalah dengan acara hiburan seperti konsert. Dalam industri hiburan, kita sentiasa berdepan dengan perkara ini.
“Saya kekal dengan pendirian Malaysia kena menjadi negara yang mengalu-alukan kehadiran artis ternama antarabangsa. Lagi pula, ia tidaklah keterlaluan,” jelasnya.
Tambah KJ, kehadiran bintang antarabangsa ini juga akan membawa kesan positif kepada negara terutamanya dari sudut ekonomi dan pelancongan.
“Kalau sekat kehadiran artis antarabangsa, kita yang akan rugi dari sudut ekonomi dan pelancongan. Selain itu, kerugian juga buat artis tempatan untuk mendapat inspirasi kehadiran mereka ini,” katanya.
Mengulas isu ‘scalpers’ atau ulat tiket yang mengambil kesempatan menjual semula tiket dengan harga tidak masuk akal, KJ menyarankan penganjur mencontohi negara luar yang menggunakan sistem lebih menekankan ciri keselamatan.
“Banyak cara boleh dipelajari daripada negara luar. Contohnya, tiket dijual perlu dicetak dengan nama dan nombor kad pengenalan supaya tidak dijual semula oleh individu yang mengambil kesempatan.
“Kalau tak dapat pergi, pembeli kena jual semula kepada penganjur.
“Saya rasa, masalah ini bukan berlaku di Malaysia sahaja. Mungkin apa yang berlaku boleh dijadikan sebagai iktibar.
“Selepas ini, kerajaan boleh letakkan syarat kepada penganjur untuk menyusun atur strategi penjualan tiket,” katanya.
Terdahulu, KJ tampil memberikan pendapat mengenai isu kontroversi kehadiran Coldplay di Malaysia yang mendapat tentangan daripada pelbagai pihak termasuk pemimpin parti politik.
Pandangan itu disuarakan menerusi rancangan podcast, Keluar Sekejap yang dikendalikannya bersama rakan seperjuangan dalam dunia politik, Shahril Hamdan. – JURNAL
Sumber: BH ONLINE