Harimau Malaya masih belum mengangkat bendera putih atau menyerah kalah walaupun terpaksa berdepan misi sukar untuk melangkah ke pusingan 16 terbaik di Piala Asia 2023.
Ia susulan kekalahan besar 0-4 yang dialami skuad negara di tangan Jordan dalam aksi sulung Kumpulan E di Stadium Al Janoub, pagi tadi.
Malah, keputusan itu menjadi kekalahan terbesar buat Kim Pan Gon sejak membimbing Harimau Malaya pada 2022.
Pengendali dari Korea Selatan itu menjelaskan bahawa pasukannya mendapat pengajaran berguna selepas tewas kepada Jordan dan akan bangkit dengan persembahan lebih baik bagi perlawanan yang seterusnya.
“Kami akan meneliti semula perlawanan dengan Jordan, mengenal pasti dan memperbaiki kesilapan bagi aksi seterusnya. Penting untuk kami bangkit dengan cepat kerana kami mempunyai dua lagi perlawanan dalam Kumpulan E.
“Pemain beraksi dengan baik dari segi fizikal dan teknikal, tetapi saya bersimpati dengan penyokong Malaysia yang mengharapkan hasil positif daripada kami, malangnya kami tidak dapat melakukannya,” katanya.
Malaysia kini menghuni tangga tercorot kumpulan, manakala Jordan berada di kedudukan teratas dan berkongsi tiga mata bersama Korea Selatan yang menewaskan Bahrain 3-1.
Harimau Malaya seterusnya akan menentang Bahrain dalam aksi kedua Sabtu ini di Stadium Jassim bin Hamad yang mana mereka wajib meraih kemenangan untuk membuka peluang ke pusingan 16 terakhir.
Sementara itu, pengendali Jordan, Hussein Ammouta menganggap kemenangan ke atas Harimau Malaya memberi keyakinan buat barisan pemainnya bagi menghadapi dua lagi aksi sukar dalam kumpulan.
“Apa yang penting kami bermula dengan kemenangan sebelum bertemu dengan pasukan lebih kuat dalam kejohanan ini.
“Kami mahu menjaringkan lebih banyak gol dan mencipta peluang, tetapi apa yang penting kami beraksi dengan baik. Setiap orang mahukan jaringan, namun apa yang kami mahu adalah kemenangan,” katanya. – JURNAL
Sumber: BERITA HARIAN