Pempengaruh dan usahawan, Khairul Aming, mendedahkan bahawa wajah dan suaranya telah dimanipulasi menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk tujuan penipuan.
Khairul Aming, atau nama sebenarnya Khairul Amin Kamarulzaman, 32, melalui satu hantaran video di media sosialnya, menjelaskan bahawa beliau perlu tampil bagi mengelak orang ramai menjadi mangsa penipuan tersebut.
“Fitnah sudah semakin berleluasa. Tolong report scammer yang salah guna muka dan suara orang untuk menipu orang ramai. KA (Khairul Aming) tak jual barang-barang selain dari Sambal Nyet dan Dendeng Nyet saja,” tulisnya.
Dalam video tersebut, Khairul Aming menunjukkan iklan periuk yang menggunakan suara dan wajahnya, namun menegaskan bahawa itu bukan dia, sebaliknya hasil manipulasi AI.
“Suara yang anda dengar tadi yang anda tengok tadi bukan suara Khairul Aming. Itulah AI yang scammer salah guna untuk tipu orang ramai,” katanya dengan nada kecewa.
Beliau turut mengingatkan orang ramai agar berhati-hati kerana AI kini semakin disalah guna untuk tujuan penipuan.
“Saya tidak ada menjual apa-apa barang selain Sambal Nyet dan Dendeng Nyet.. itu sahaja. Kalau barang-barang Apple, gajet dan sebagainya, saya tidak ada jual. Jadi, berhati-hatilah sebelum membeli sesuatu,” tambahnya lagi.
Sebelum ini, pihak polis dan Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, telah menasihatkan orang ramai agar berwaspada dengan taktik penipuan deepfake menggunakan teknologi AI, terutama selepas kes Datuk Seri Siti Nurhaliza yang turut menjadi mangsa. – JURNAL