Syarikat-syarikat di Peru kini menunjukkan minat yang tinggi terhadap keupayaan Malaysia khususnya dalam eksport peralatan dan produk perubatan, bahan binaan berasaskan keluli dan kaca, serta produk pengguna.
Minat ini jelas melalui mesyuarat meja bulat yang dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama 22 wakil dari 20 organisasi Peru, termasuk konglomerat besar seperti Grupo Romero, Grupo Armejo Yepez, dan Grupo Molicom. Turut serta adalah wakil daripada Pihak Berkuasa Pelabuhan Negara Peru dan Dewan Perniagaan Kebangsaan.
“Mesyuarat meja bulat dengan pemimpin industri dan perniagaan merupakan platform penting bagi memperkenalkan peluang perdagangan dan pelaburan kepada syarikat Amerika Selatan,” jelas Anwar.
“Ia turut memberi peluang kepada syarikat-syarikat Peru untuk mendalami dasar Malaysia, termasuk peralihan tenaga, kelestarian, dan pensijilan halal,” tambahnya.
Mesyuarat itu juga membincangkan strategi memanfaatkan Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) di mana kedua-dua negara adalah ahli. Kerjasama dalam logistik maritim dan pengurusan pelabuhan turut menjadi fokus utama.
Dalam perkembangan lain, Anwar turut merasmikan ladang solar kedua terbesar di Arequipa hasil usaha sama Yinson Group dari Malaysia. Usahasama ini merupakan satu langkah konkrit dalam mengukuhkan sektor tenaga boleh diperbaharui di Peru.
Beliau menyatakan bahawa peningkatan perdagangan Malaysia-Peru mencerminkan kesungguhan negara dalam memudah cara perdagangan dua hala.
“Kerjasama ini merupakan usahasama global south yang bukan sahaja menguntungkan ekonomi tetapi turut menyumbang kepada masa depan yang lebih lestari,” katanya.
Anwar tiba di Lima pada Selasa bagi lawatan rasmi pertamanya ke Amerika Selatan, sekali gus mengukuhkan hubungan strategik antara Malaysia dan Peru. – JURNAL