Ketua Menteri negeri Assam, Himanta Biswa Sarma mendapat panggilan daripada aktor Shah Rukh Khan sebaik sahaja mengeluarkan kenyataan seolah-olah tidak mengenali bintang Bollywood itu.
“Siapa Shah Rukh Khan?” soal Biswa Sarma ketika ditanya oleh wartawan mengenai kejadian rusuhan yang berlaku di sebuah pawagam di Narengi, Guwahati pada Jumaat lalu.
Rusuhan berlaku apabila pawagam tersebut menyiarkan filem Hindi terbaharu, Pathaan yang memaparkan babak aktres Deepika Padukone memakai bikini ketika menyanyikan lagu Besharam Rang.
Babak tersebut mencetuskan rasa tidak puas hati kumpulan aktivis Bajrang Dal yang kemudiannya melancarkan protes ganas dengan mengoyak dan membakar poster filem tersebut.
Bagaimanapun, selepas beliau membuat kenyataan tersebut, laman berita India.com melaporkan bahawa SRK kemudian menghubunginya menerusi telefon.
Ketua Menteri itu membuat ciapan di Twitter bahawa SRK telah menelefonnya dan melahirkan kebimbangan mengenai insiden di Guwahati.
Beliau kemudian memberi jaminan kepada pelakon Bollywood popular itu bahawa menjadi tanggungjawab kerajaan negeri untuk mengekalkan undang-undang dan ketenteraman awam.
Sebelum ini, ramai pemimpin termasuk dari kumpulan nasionalis Hindu, Vishwa Hindu Parishad telah menuntut pengharaman filem itu. – JURNAL
Sumber: Agensi