Kerajaan Madani terus komited membina masa depan Malaysia yang lebih inklusif dan gemilang. Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menegaskan bahawa usaha yang dirangka oleh kerajaan kini bertujuan memastikan tiada rakyat dipinggirkan, termasuk golongan miskin, anak muda, wanita, warga emas, petani, nelayan, pelajar, serta penduduk di kawasan bandar dan luar bandar.
Dalam satu hantaran di laman Facebook, beliau menekankan bahawa kesejahteraan rakyat menjadi tunjang kepada setiap inisiatif yang dilaksanakan oleh Kerajaan Madani.
“Setiap langkah diambil dengan matlamat membina kehidupan rakyat yang lebih bermakna dan bermaruah,” katanya.
Sepanjang dua tahun pentadbiran, kerajaan telah memperkenalkan pelbagai inisiatif yang membawa manfaat besar kepada rakyat. Antaranya ialah Sumbangan Tunai Rahmah (STR), yang telah memanfaatkan sembilan juta penerima daripada golongan B40, dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA), yang memberikan bantuan kepada 8.4 juta individu untuk mendapatkan keperluan asas di lebih 600 kedai runcit dan pasar raya.
Selain itu, Kerajaan Madani juga memperkenalkan Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) yang membantu lebih 4,600 peserta dari kalangan golongan B40, miskin, dan miskin tegar meningkatkan pendapatan mereka. Inisiatif ini bertujuan untuk membantu rakyat keluar daripada kitaran kemiskinan dan mencapai kehidupan yang lebih baik.
Anwar turut mengingatkan bahawa semua usaha yang dilakukan adalah berasaskan prinsip inklusiviti dan keadilan. Beliau optimis bahawa dengan sokongan rakyat, Kerajaan Madani akan terus membawa perubahan positif kepada kehidupan setiap lapisan masyarakat.
“Kerajaan Madani akan terus bekerja untuk memastikan tiada rakyat dipinggirkan dan kesejahteraan rakyat akan kekal menjadi keutamaan,” ujar beliau. – JURNAL