Kes penipuan pakej umrah membabitkan sebuah syarikat pelancongan di Sepang, Selangor, mencetuskan kontroversi apabila kerugian dianggarkan mencecah RM2.1 juta.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan mengesahkan pihaknya telah menerima lapan laporan berkaitan kes ini, yang melibatkan seramai 379 mangsa.
“Kita telah menahan lapan individu, termasuk pasangan suami isteri yang juga pemilik syarikat tersebut. Kami menyeru mana-mana mangsa lain agar tampil membuat laporan untuk membantu siasatan,” katanya.
Terdahulu, pasangan berusia 31 tahun yang juga pemilik syarikat umrah berkenaan ditahan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) pada Rabu di Kuala Lumpur. Difahamkan, syarikat itu telah beroperasi sejak 2022 dan berpindah ke premis tiga tingkat di Sepang pada Oktober lalu.
Insiden ini menjadi bualan hangat di media sosial selepas lebih 300 jemaah umrah terkandas apabila dijanjikan penerbangan ke Tanah Suci yang kemudian ditunda oleh pihak syarikat.
Pengarah Urusan syarikat berkenaan, Hejira Travel & Tours Holding Sdn Bhd, tampil memohon maaf secara terbuka dan menawarkan tiga penyelesaian termasuk pemulangan penuh wang kepada para jemaah.
Polis menyiasat kes ini dengan teliti, dan mangsa diminta segera tampil memberikan maklumat untuk memastikan keadilan ditegakkan. – JURNAL