Kes saman fitnah antara ahli perniagaan terkenal, Datuk S.M Faisal S.M Nasimuddin Kamal terhadap penyanyi rap Caprice akhirnya selesai secara baik di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, hari ini.
Saman fitnah itu berhubung hantaran berbaur fitnah yang dibuat selebiriti itu di laman Instagramnya mengenai kes Emilia Hanafi yang juga bekas isteri S.M Faisal.
Perkara itu dimaklumkan Datuk Akberdin Abdul Kader yang mewakili S.M Faisal selaku plaintif selepas prosiding kes dalam kamar di hadapan Hakim Azian Othman.
“Hari ini kedua-dua pihak mencapai persetujuan untuk menyelesaikan kes saman ini. Antara terma-terma utama penyelesaian itu antaranya membabitkan permohonan maaf yang perlu dibuat defendan (Caprice) dalam tempoh 48 jam.
“Namun terma-terma lain yang telah dipersetujui termasuk kos tidak boleh didedahkan secara terperinci,” kata peguam itu.
Sementara itu S.M Faisal ketika ditemui pula berkata beliau gembira kes saman fitnah itu akhirnya dapat selesai secara baik.
Sementara itu, Caprice atau nama sebenarnya Ariz Ramli, 36, dilihat telah memuat naik permohonan maaf kepada SM Faisal di Instagram miliknya.
Semasa prosiding Caprice diwakili peguam Harjoth Singh.
Bagaimanapun menerusi hantaran lain, Caprice meluahkan rasa kesal terhadap bekas isteri SM Faisal iaitu Amelia Hanafi yang tidak hadir ke mahkamah hari ini.
“Salam Amelia, lain kali kalau minta tolong orang jangan tiba-tiba tak boleh hadir,” tulisnya pada ruangan kapsyen disertakan foto Amelia yang dipenuhi kesan lebam seluruh badan.
Di ruangan komen Caprice menjelaskan kepada pengikutnya bahawa dia didenda RM6,000 kerana saksi (Amelia) tidak hadir untuk membuktikan dakwaan yang dibuat sebelum ini.
Hari ini adalah ditetapkan bagi pihak-pihak memaklumkan mengenai penyelesaian penuh kes saman fitnah itu, yang mana kedua-dua pihak telah bersetuju untuk menyelesaikannya melalui penghakiman persetujuan. – JURNAL