Peguam kepada Syamsul Yusof, Azmi Rais mengklasifikasikan kes pasangan itu sebagai ‘penyelesaian penuh’.
“Saya tak boleh komen secara terperinci tetapi apa yang boleh dikatakan mereka capai penyelesaian secara baik, tiada lagi dakwa-dakwi antara kedua belah pihak.
“Cuma sekarang kena ke Mahkamah Tinggi, ada terma yang berada dalam bidang kuasa Mahkamah Tinggi, untuk merekodkan berdasarkan perjanjian yang telah ditangani pada 13 Jun antara kedua-dua belah pihak,” ujarnya.
Terdahulu, peguam syarie yang mewakili Puteri Sarah, Datuk Akberdin Abd Kader ketika bertemu media menjangkakan perbicaraan yang berlangsung hari ini akan menjadi penutup untuk kes perceraian pasangan tersebut.
Sebelum ini, pada 25 Mei lalu, Jawatankuasa Pendamai (JKP) memaklumkan ikatan perkahwinan Sarah dan Syamsul Yusof tidak dapat diselamatkan kerana berlaku shiqaq iaitu perbalahan berpanjangan.
Puteri Sarah memfailkan tuntutan cerai terhadap suaminya pada Januari tahun ini di Mahkamah Syariah Kuala Lumpur selepas krisis rumah tangganya sejak empat tahun lalu.
Selain itu, dia juga enggan dimadukan selepas Syamsul membuat pengakuan bernikah kali kedua dengan Ira Kazar di Thailand.
Puteri Sarah dan Syamsul mendirikan rumah tangga pada 8 Mac 2014 dan dikurniakan dua cahaya mata, Syaikul Islam, 5, dan Summayah, 3. – JURNAL