Bekas peguam, N Pathmanabhan, dan dua lagi tertuduh, kekal dihukum gantung sampai mati atas kesalahan membunuh jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga lagi individu pada 2010.
Keputusan ini dibuat sebulat suara oleh panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan yang dipengerusikan oleh Ketua Hakim Negara, Tengku Maimun Tuan Mat, bersama Datuk Nordin Hassan dan Datuk Abu Bakar Jais.
Dalam penghakiman, Tengku Maimun mengumumkan bahawa mahkamah menolak permohonan pengurangan hukuman dan mengekalkan hukuman mati terhadap Pathmanabhan, 55, dan T Thilaiyalagan, 33.
“Permohonan ditolak, hukuman gantung dikekalkan,” tegas beliau.
Permohonan ini dibuat susulan Akta Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023 yang memberikan pilihan kepada hakim sama ada untuk mengenakan hukuman mati atau penjara selama 30 hingga 40 tahun. Namun, mahkamah memilih untuk mengekalkan hukuman mati bagi kedua-dua tertuduh.
Kes ini melibatkan pembunuhan kejam Datuk Sosilawati dan tiga rakan sekerjanya di Morib, Selangor, pada September 2010.
Mayat mereka dipercayai dibakar dan dibuang di ladang ternakan ayam di Tanjung Layang.
Sementara itu, seorang lagi tertuduh, R Kathavarayan, 44, yang pada awalnya turut memohon semakan hukuman, menarik balik permohonannya, dan hukuman mati terhadapnya juga dikekalkan.
Dalam prosiding ini, pihak pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Mohd Dusuki Mokhtar, manakala peguam Manjeet Singh Dhillon dan Amer Hamzah Arshad mewakili tertuduh.
Kes ini telah melalui pelbagai peringkat rayuan, di mana pada 23 Mei 2013, Mahkamah Tinggi Shah Alam menjatuhkan hukuman mati terhadap semua tertuduh.
Namun, pada 2017, hanya Pathmanabhan, Thilaiyalagan, dan Kathavarayan kekal dihukum gantung, manakala seorang lagi tertuduh, R Matan, dibebaskan oleh Mahkamah Persekutuan kerana kekurangan bukti. – JURNAL
Sumber: Berita Harian