Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah memanggil 12 saksi berhubung kes rasuah dan salah guna kuasa dalam isu kecurian unsur nadir bumi (REE) di Kedah.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, semua saksi dipanggil itu sudah dirakam percakapan bagi membantu kertas siasatan.
Beliau berkata, pihaknya juga menjangkakan akan ada lagi saksi dipanggil untuk dirakam percakapan termasuk Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.
“Saya tidak nafikan, beliau (Muhammad Sanusi) juga akan dipanggil kerana surat berhubung dengan perlombongan yang tular itu ditandatangani oleh beliau.
“Antara yang kita akan tanya, perkara itulah (surat berhubung perlombongan), sebab surat itu tular. Kalau betul, betullah (seperti yang dikatakan) dan jika tidak betul beliau kena nyatakan,” katanya selepas Program Cakna Rasuah SPRM bersama Media Zon Timur di sebuah hotel, hari ini.
Yang turut hadir, Pengarah SPRM Terengganu, Hazrul Shazreen Abd Yazid; Pengarah SPRM Pahang, Hairuzam Mohmad Amin@Hamim dan Pengarah SPRM Kelantan, Rosli Husain.
Ditanya bila Menteri Besar Kedah itu akan dipanggil, Azam bagaimanapun berkata ia belum diketahui lagi.
“Bila akan panggil belum tahu lagi kerana saya serahkan kepada pegawai penyiasat dan mereka akan tentukan bila akan dipanggil,” katanya.
Dalam pada itu, Azam berkata pihaknya percaya ramai lagi saksi lain perlu dipanggil dan setakat ini tidak ada ahli politik yang dipanggil dalam kes terbabit.
Beliau juga mengesahkan pihak pegawai penyiasat sedang mengesan beberapa individu luar dari China.
“Saksi yang kita sedang kesan ini dikatakan membuat pelaburan kepada perlombongan REE ini dan pegawai penyiasat sedang mengesan saksi-saksi ini.
“Malah, sesiapa saja yang kita rasakan perlu panggil untuk dirakam percakapan, kita akan panggil tidak kira siapa, cuma cepat atau lambat saja,” katanya.
Ditanya apakah SPRM ditekan dalam isu siasatan kes ini termasuk motif siasatan yang didakwa mempunyai kaitan dengan Pilihan Raya Negeri (PRN), Azam bagaimanapun menafikannya.
“Tidak ada sesiapa yang menekan kami dalam kes REE ini dan kes ini juga tidak ada kaitan dengan PRN,” katanya.
Semalam, SPRM dilapor menahan pegawai kanan Perbadanan Menteri Besar (MBI) Kedah bersama seorang pengarah wanita sebuah syarikat bagi membantu siasatan kes membabitkan nilai rasuah lebih RM13 juta.
Suspek masing-masing berusia 40 dan 63 tahun itu ditahan masing-masing di Alor Setar, Kedah dan di ibu negara kini direman tiga hari sehingga esok. – JURNAL
Sumber: BH ONLINE