Kertas siasatan kes kemalangan tragis yang meragut nyawa dua beradik di Jalan Kepayan pada Jumaat lalu akan diserahkan kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya (TPR) hari ini, menurut pihak polis.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda, memaklumkan siasatan kini sedang giat disiapkan melibatkan seorang suspek lelaki yang dipercayai menjadi punca nahas tersebut.
“Suspek berusia 22 tahun masih ditahan reman. Kami akan melengkapkan siasatan secepat mungkin untuk diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya. Jika perlu, tempoh tahanan reman mungkin disambung,” jelasnya.
Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 44(1)(b) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Kejadian pada pukul 2.35 pagi itu membabitkan tiga kenderaan di lampu isyarat Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), Jalan Kepayan.
Sebuah Toyota Hilux yang dipandu lelaki tempatan dipercayai melanggar Perodua Axia yang dinaiki dua beradik tersebut, menyebabkan kereta mereka berpusing dan melanggar sebuah lagi kereta, Perodua Viva.
Perodua Axia tersebut kemudiannya terbabas ke bahu jalan dan terbakar.
Kedua-dua mangsa ditemui rentung dalam kenderaan tersebut dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan dari Hospital Queen Elizabeth I (HQEI).
Pasukan bomba berjaya mengeluarkan mangsa, namun mereka tidak dapat diselamatkan. – JURNAL
Sumber: Berita Harian