Institusi pendidikan di bawah MARA (Majlis Amanah Rakyat) adalah antara yang berjaya dalam menghasilkan sumber manusia profesional dan separa profesional Bumiputera yang membantu pembangunan negara dalam semua aspek.
Program pembangunan dalam negeri telah dirancang sejak 1951, kemudiannya melahirkan RIDA (Rural and Industrial Development Authority) pada tahun 1956. RIDA ditubuhkan untuk membangunkan serta meningkatkan taraf ekonomi masyarakat luar bandar dan terus berkembang sehingga 1965.
Bagi memantapkan sistem pendidikan MARA dan mengukuhkan peranan RIDA, Maktab MARA kemudiannya telah ditubuhkan. Maktab MARA memberikan nafas baharu dalam memenuhi aspirasi pusat latihan MARA yang berperanan daripada 1965 hingga 1967 sebagai sebuah unit terpenting di bahagian latihan MARA.
Hasil kajian Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) pada tahun 1965 mendapati negara kekurangan pekerja terlatih tahap profesional dan separa profesional di kalangan Bumiputera. Pada tahun 1967 Maktab Mara telah dinaikkan taraf kepada Institut Teknologi MARA.
Institut Teknologi MARA (ITM) terus berkembang dengan pelbagai kursus dan program peringkat diploma dan ijazah melalui tiga fasa yang diatur secara sistematik sehingga ia mencapai tahap setara dengan institusi pengajian tinggi ternama lain.
Sumbangan ITM selama 32 tahun dalam melahirkan sumber manusia profesional dan separa profesional dalam pelbagai bidang di kalangan Bumiputera tidak boleh dipertikaikan lagi terutamanya dikalangan masyarakat luar bandar.
Kecemerlangan ITM telah membawa kepada pengisytiharan Universiti Teknologi MARA (UiTM) pada 26 Ogos 1999. Kewujudan UiTM di seluruh negara memberikan peluang yang sangat signifikan dalam membangunkan kapasiti masyarakat luar bandar dalam semua bidang.
UiTM menumpukan kepada kecemerlangan akademik, inovasi, sosio-ekonomi, pengantarabangsa, dan teknologi baharu yang menyumbang kepada pembangunan industri dan negara.
Walaupun kecemerlangan pendidikan MARA sejak 1956 melalui RIDA (1956-1965), Maktab MARA (1965-1967), ITM (1967-1999) dan disambung oleh UiTM hingga sekarang, perbincangan tentang kecemerlangan Bumiputera masih diteruskan terutama dalam bidang ekonomi.
Perkara berkaitan sosio-ekonomi Bumiputera dan masyarakat luar bandar yang popular dibincangkan ialah taraf ekonomi masyarakat luar bandar dan keterjaminan makanan. Kekurangan sumber makanan, bergantungan kepada barangan impot dan kenaikan harga barang memberikan tekanan kepada seluruh masyarakat.
UiTM mungkin boleh membantu melalui struktur yang sedia ada melalui aktiviti kurikulum dan ko-kurikulum bersama rakyat tempatan dan akhirnya membantu isu-isu kebangsaan.
Melalui aktiviti penyelidikan dan pengembangan universiti boleh membantu mencari peluang untuk masyarakat tempatan, di mana sesebuah universiti itu berada, meningkatkan ekonomi melalui memanfaatkan alam semula jadi, aktiviti pertanian dan keperluan pendidikan terutama dalam bidang STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik).
Sejak penubuhan ITM pada tahun 1967, sudah tentu mempunyai ramai alumni yang berjaya dan boleh memajukan ekonomi luar bandar seperti eko-pelancongan, aktiviti penternakan dan pertanian, industri kecil serta kerja-kerja penasihatan dan pengurusan berkaitan kos sara hidup.
Alumni ITM/UiTM boleh berkongsi kepakaran melalui program pendidikan dan penyelidikan universiti. Isu kekurangan beras tempatan, telor ayam, ayam, ikan dan sayur-sayuran serta kos sara hidup baru-baru ini boleh diselesaikan secara bersama dan bersepadu.
MARA adalah sebuah agensi yang ditubuhkan pada 1 Mac 1966 di bawah Akta Parlimen sebagai sebuah badan berkanun hasil daripada resolusi Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) pertama pada tahun 1965. KEB membincangkan masalah berkaitan ekonomi Bumiputera dan membuat dua resolusi penting iaitu penubuhan MARA dan Bank Bumiputra.
Penubuhan MARA adalah untuk menggantikan RIDA dengan pengstrukturan semula pentadbiran mengikut kesesuaian semasa manakala Bank Bumiputra bertujuan untuk membantu kaum Bumiputera menjalankan perniagaan.
Dasar Ekonomi Baru juga dirancang hasil daripada resolusi KEB yang telah memberikan jaminan dan keyakinan kepada kaum Bumiputera untuk turut sama bersaing dalam bidang ekonomi serta membantu mengekalkan kemerdekaan negara.
Membangunkan daya tahan dan pendekatan baharu yang bersepadu, hasrat penubuhan MARA, Bank Bumiputra dan UiTM bersama alumni dan industri tempatan dapat memastikan kejayaan ekonomi masyarakat luar bandar terutamanya kaum Bumiputera.
Meningkatkan penghasilan makanan isi rumah dan perdagangan; menambahbaik penjanaan pendapatan dan peluang pekerjaan, meningkatkan pemakanan dan keselamatan makanan, meningkatkan jaring keselamatan dan sistem pengurusan kecemasan makanan memerlukan pendekatan yang bersepadu dan tenaga profesional.
Kongres Ekonomi Bumiputera kali ini akan menerbitkan idea dan hasil yang menjanjikan apabila MARA, UiTM dan alumni bersama melihat semua isu sosio-ekonomi Bumiputera secara serius. – JURNAL
Sumber: BEBASNEWS