Seorang remaja lelaki didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas tuduhan membunuh rakannya hanya kerana cemburu buta, bulan lalu.
Tertuduh berumur 17 tahun yang hadir ke mahkamah berbaju kelabu hitam dan berseluar denim biru itu mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Intan Nurul Farena Zainal Abidin.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan kerana pertuduhan membunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Tertuduh yang tidak bersekolah didakwa membunuh P Hariaran, 21, di tepi Jalan Pasir Kampung Sungai Payung Baroh, Selekoh, Bagan Datuk antara jam 6 petang hingga jam 8.30 malam pada 20 Ogos lalu.
Susulan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang dari 30 hingga 40 tahun.
Jika tidak dihukum mati, suspek boleh dikenakan hukuman sebat tidak kurang dari 12 sebatan, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Cheah Shuh Yuan, manakala tertuduh diwakili peguam Charanjit Singh.
Mahkamah menetapkan 5 Oktober ini untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia.
Pada 23 Ogos lalu, mayat mangsa yang sudah mereput ditemui orang awam di dalam parit kebun kelapa sawit di Jalan Pasir Kampung Sungai Payung Baroh, Bagan Datuk.
Media kemudiannya melaporkan polis menahan suspek di kawasan Hutan Melintang, Bagan Datuk pada 26 Ogos lalu dan hasil soal siasatan mendapati motif bunuh adalah kerana suspek cemburu terhadap mangsa yang mengganggu teman wanitanya. – JURNAL
Sumber: BH ONLINE