Perdana Menteri Anwar Ibrahim memberi jaminan bahawa Kerajaan Madani akan memberikan kerjasama penuh sekiranya usaha pencarian pesawat Malaysia Airlines MH370 berjaya menemukan hasil.
“Selepas lebih sedekad pesawat itu hilang, masih banyak misteri belum terungkai. Keluarga, waris, dan rakyat berhak mengetahui kebenaran. Kerajaan akan memberi kerjasama sepenuhnya jika pencarian kali ini membuahkan hasil,” katanya melalui hantaran di Facebook.
Minggu lalu, Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook memaklumkan bahawa kerajaan telah bersetuju secara prinsip menerima tawaran syarikat robotik marin Ocean Infinity untuk meneruskan pencarian MH370.
Operasi kali ini akan tertumpu di kawasan baharu seluas 15,000km persegi di selatan Lautan Hindi dengan kaedah ‘no find, no fee’. Ini bermakna, kerajaan tidak akan menanggung sebarang kos jika bangkai pesawat gagal ditemukan.
Pesawat MH370 membawa 239 penumpang ketika hilang pada 8 Mac 2014 dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing. Walaupun usaha pencarian sebelum ini tidak berhasil, kerajaan terus komited menyokong usaha mendapatkan jawapan kepada tragedi ini. – JURNAL