Keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melepas tanpa membebaskan, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi daripada 47 pertuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi, adalah bukti pelepasan daripada kezaliman yang amat dahsyat.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, keputusan berkenaan juga tidak menjejaskan perjalanan kempen Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) yang sedang berlangsung ketika ini.
Malahan kebenaran yang berjaya ditegakkan itu secara tidak langsung dilihat mampu menambah nilai sokongan pengundi kepada Kerajaan Perpaduan pada PRK di Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram, Sabtu ini.
“Kes Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi ini memberi kesan yang amat positif kerana akhirnya kebenaran dapat ditegakkan dan saya tahu pihak yang tidak suka mesti melihat ianya dari sudut negatif.
“Siapa yang melihat dari sudut yang berbeza bererti, betulkanlah pandangan mereka bahawa ini adalah pelepasan daripada kezaliman yang amat dahsyat,” katanya.
Mengulas lanjut katanya, keputusan itu juga tidak perlu diperjelaskan memandangkan Jabatan Peguam Negara sudah mengeluarkan kenyataan yang cukup jelas berhubung keputusan itu.
“Ada pihak yang minta penjelasan Peguam Negara (dan) saya nak beritahu mereka Jabatan Peguam Negara telah menyatakan 11 alasan berhubung perkara itu.
“Kemudian ada lagi siaran akhbar yang ringkas daripada Jabatan Peguam Negara menyatakan apa yang mereka buat itu diperakui oleh Hakim, jadi itulah (keputusannya),” tambahnya.
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sebelum ini melepaskan tanpa membebaskan Timbalan Perdana Menteri itu daripada 47 tuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi yang diasaskannya.
Hakim, Datuk Collin Lawrence Sequerah, melepas tanpa membebaskan Ahmad Zahid selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Mohd Dusuki Mokhtar, yang memaklumkan bahawa Jabatan Peguam Negara ingin memberhentikan semua prosiding terhadap Ahmad Zahid pada peringkat ini. Pihak pendakwaan mengemukakan 11 alasan ketika memohon kepada mahkamah.
Jabatan Peguam Negara menerusi kenyataan kemudiannya memaklumkan keputusan itu dibuat berdasarkan alasan yang dikemuka dan diterima oleh mahkamah. Kenyataan itu memaklumkan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah, yang membuat keputusan terbabit sudah menyatakan alasan dikemuka pihak pendakwaan adalah kukuh. – JURNAL
Sumber: ASTRO AWANI