Tupperware Brands, syarikat yang suatu ketika dulu merevolusikan penyimpanan makanan, telah memfailkan perlindungan kebankrapan.
Berpusat di Orlando, Florida, syarikat itu berhasrat untuk terus beroperasi sepanjang proses kebankrapan dan merancang untuk menjual sebahagian asetnya bagi melindungi jenama ikonik yang telah dibina selama lebih tujuh dekad.
Walaupun mengalami sedikit pertumbuhan jualan semasa pandemik COVID-19, perniagaan Tupperware telah menyusut sejak 2018 akibat persaingan yang semakin sengit.
Syarikat ini berdepan kesukaran kewangan yang semakin membebankan, sehingga memaksa mereka mencari perlindungan kebankrapan untuk menyelesaikan hutang lebih $1.2 bilion.
Pada masa yang sama, nilai aset syarikat hanya sekitar $679.5 juta, dengan sahamnya jatuh lebih 75 peratus tahun ini.
Menurut Neil Saunders, pengarah pengurusan GlobalData, kemerosotan Tupperware bukanlah perkara baru.
Persaingan dari jenama penyimpanan rumah yang lebih murah serta platform dalam talian seperti Temu dan peruncit besar seperti Target telah menyebabkan Tupperware kehilangan daya tarikannya di kalangan pengguna.
Diasaskan pada tahun 1946 oleh ahli kimia Earl Tupper, Tupperware terkenal dengan ciptaannya yang membantu keluarga menyimpan makanan dengan lebih baik.
Jenama ini meletup popularitinya dengan kemunculan “Tupperware parties” yang memberi peluang kepada wanita untuk menjalankan perniagaan dari rumah. Namun, kaedah jualan ini kini kurang relevan di era digital yang lebih maju.
Tupperware kini dalam proses transformasi untuk menjadi syarikat yang lebih berfokus kepada digital dan teknologi.
Presiden dan CEO syarikat, Laurie Ann Goldman, menegaskan bahawa jenama Tupperware masih wujud dan akan terus beroperasi seperti biasa.
Goldman yang sebelum ini menerajui Spanx, dilantik sebagai CEO pada Oktober 2023 sebagai sebahagian daripada perubahan besar dalam kepimpinan syarikat. – JURNAL
Sumber: CBC