Risiko wabak mpox atau cacar monyet bermutasi menjadi lebih ganas di Malaysia adalah sangat kecil, menurut Pakar Virologi Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Dr Zamberi Sekawi.
Beliau menjelaskan bahawa virus ini hanya menular melalui sentuhan fizikal, termasuk aktiviti seksual, berbeza dengan Covid-19 yang mudah tersebar melalui titisan cecair daripada percikan air liur ketika bercakap atau batuk.
“Secara umum, wabak cacar monyet boleh membawa maut dengan kadar kematian antara tiga hingga lima peratus, tetapi ia tidak mudah merebak seperti Covid-19,” kata Dr Zamberi.
Beliau mengulas mengenai kebimbangan sesetengah pihak bahawa wabak yang kini meningkat di Afrika mungkin bermutasi menjadi lebih ganas seperti Covid-19 yang melanda dunia, termasuk Malaysia, beberapa tahun lalu.
Dr Zamberi menegaskan bahawa kemungkinan mutasi tersebut adalah sangat rendah.
Kebimbangan masyarakat timbul selepas beberapa pihak berkongsi dan menyebarkan maklumat mengenai wabak ini di media sosial.
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dilaporkan telah bersiap sedia dengan memperkukuh pengawasan dan advokasi berkaitan mpox, serta meningkatkan pemantauan di semua pintu masuk antarabangsa.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah mengisytiharkan mpox sebagai Kecemasan Kesihatan Awam dengan Kepentingan Antarabangsa (PHEIC) untuk kali kedua pada 14 Ogos lalu.
Sehingga Selasa, Republik Demokratik Congo (DRC) mencatatkan lebih 570 kematian akibat wabak tersebut.
Mengenai langkah pencegahan, Dr Zamberi menggesa orang ramai supaya mengelakkan aktiviti berisiko dan menggalakkan pengambilan vaksin sebagai perlindungan daripada jangkitan wabak yang berpotensi membawa maut ini. – JURNAL
Sumber: Sinar Harian