Kementerian Komunikasi Dan Digital (KKD) menggugurkan penyertaan Awesome TV daripada acara perbarisan sambutan Hari Kebangsaan 2023 di Dataran Putrajaya, 31 Ogos ini.
KKD selaku Urus Setia Induk Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2023 memaklumkan perkara tersebut menerusi surat rasmi bertarikh 23 Ogos 2023, kepada Ketua Pegawai Operasi syarikat pengendali stesen, Awesome Media Network.
Menerusi surat yang disebarkan di aplikasi Whatsapp sejak semalam memaklumkan penglibatan kontijen Awesome TV digugurkan selepas dipersetujui dalam mesyuarat dipengerusikan Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil.
“Selaras dengan keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kebangsaan 2023 Bilangan 4/2023
yang dipengerusikan oleh YB Menteri Komunikasi dan Digital bertarikh 21 Ogos 2023 memutuskan bahawa penglibatan kontinjen daripada Awesome TV untuk acara perbarisan Sambutan Hari Kebangsaan Tahun 2023 adalah digugurkan,” menurut kenyataan dalam surat terbabit.
Sementara itu Awesome TV menerusi sebuah kenyataan akui kecewa dengan keputusan KKD, tambahan lagi mereka digugurkan tanpa sebarang alasan yang kukuh.
“Pihak Awesome TV baharu sahaja dimaklumkan oleh pihak Kementerian Komunikasi dan Digital tentang pengguguran kami daripada acara perarakan sempena Hari Kebangsaan 2023 tapa sebarang alasan.
“Keputusan mengejutkan ini terkandung di dalam surat bertarikh 23 Ogos 2023 (Rujukan KKD.100-11/2/1/ JId.2 (/8)), yang ditandatangani ole Ketua Setiausaha Kementerian, Datuk Muhammad Fauzi Md Isa.
“Menurut surat tersebut, pengguguran berkenaan selaras dengan keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kebangsaan 2023 bilangan 4/2023 yang dipengerusikan oleh YB Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil sendiri pada 21
Ogos 2023.“Keputusan ini jelas bertentangan dengan matlamat Kerajaan Madani yang berusaha keras mempromosikan semangat perpaduan serta keharmonian di kalangan rakyat
Malaysia.
“la juga terang-terang berlawanan dengan janji Kerajaan Madani untuk memperkasakan peranan media dalam pembangunan dan kesejahteraan negara,” menurut kenyataan terbabit. – JURNAL