Ahli Parlimen Putrajaya Datuk Mohd Radzi Md Jidin hari ini kembali ke Dewan Rakyat selepas digantung selama dua hari kerana mengganggu sesi penggulungan perbahasan usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) bagi Kementerian Kewangan pada 19 September lalu.
“Kembali ke Parlimen selepas digantung selama dua hari akibat insiden 19 September 2023.
“Ayuh Perikatan Nasional! Kita terus memperjuangkan kesejahteraan seluruh rakyat Malaysia!,” ciapnya menerusi laman sosial X (Twitter) pada pagi Selasa.
Dalam kejadian 19 September lalu, Radzi turut diarahkan keluar dewan oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul selepas enggan mendengar arahan supaya duduk dan memberi peluang Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meneruskan sesi penggulungannya tanpa diganggu.
Rentetan arahan itu, beberapa Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) termasuk Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin yang dikatakan tidak berpuas hati dengan keputusan terbabit, bertindak keluar dari Dewan Rakyat.
Susulan itu, beberapa desakan dibuat supaya Radzi digantung kerana kelakuan biadabnya dan tindakan tersebut adalah sebagai pengajaran kepada semua Ahli Parlimen. – JURNAL