Ismanira Abdul Manaf, 29, ibu kepada kanak-kanak autistik Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matiin, kembali aktif di Instagram dengan memuat naik hantaran berkaitan isu fitnah yang dihadapinya.
Dalam salah satu hantaran, Ismanira berkongsi tangkap layar artikel mengenai azab dan seksaan Allah terhadap golongan pemfitnah, diiringi dengan tanda pagar #justice4zaynrayyan.
Mengiringi hantaran tersebut, Ismanira menulis beberapa baris ayat khusus buat golongan yang memfitnah dan menganiayanya.
“Wahai pelaku, penganiaya, mahupun pemfitnah sekalian. Sesungguhnya sudah aku adukan semuanya kepada penciptaku. Sekarang urusanmu bukan lagi denganku, tapi dengan penciptaku, Allah SWT,” tulisnya.
Beliau turut menambah, “Perlakuan dan perkataanmu menembus hati, semoga doa-doaku menembus langit. Kalau kamu sudah hebat untuk menyakiti hati orang lain, berarti kamu sudah cukup kuat untuk menerima balasan dari-Nya.”
Walaubagaimanapun, Ismanira memilih untuk menutup ruangan komen di kesemua hantaran tersebut, yang menimbulkan tanda tanya.
Di bahagian ‘biography’ Instagramnya, Ismanira mendoakan agar individu yang bertanggungjawab menganiaya Allahyarham Zayn Rayyan segera ditangkap.
“Semoga pelaku yang menganiayai anakku Zayn Rayyan bin Zaim Ikhwan tertangkap dengan segera Aamin Ya Rabb Ya Mujib.”
Sebelum ini, akaun Instagram Ismanira ‘hilang’ selepas dia dan suaminya, Zaim Ikhwan Zahari, ditahan di Puncak Alam pada 31 Mei lalu dan direman tujuh hari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Pada 13 Jun lalu, kedua-duanya didakwa di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya atas pertuduhan mengabaikan Zayn Rayyan pada Disember tahun lalu. Namun, mereka mengaku tidak bersalah atas tuduhan tersebut.
Zayn Rayyan ditemui meninggal dunia di sebatang anak sungai pada 6 Disember tahun lalu, sehari selepas dia dilaporkan hilang di Apartmen Idaman, Damansara Damai.
Bedah siasat mengesahkan bahawa kanak-kanak itu mati dibunuh, dengan kesan kecederaan pada leher dan badannya. – JURNAL