Kehidupan seorang doktor pelatih di Kolkata, India berakhir dengan tragis apabila dia dipercayai dibunuh dan dirogol pada 9 Ogos lalu.
Dr. Moumita Debnath, yang baru berusia 31 tahun, dilaporkan telah pergi ke bilik seminar di hospital tempatnya bekerja untuk berehat selepas menjalani tugas selama 36 jam tanpa henti.
Namun, selepas beberapa jam, rakan-rakannya menyedari kehilangan beliau dan segera memulakan pencarian.
Pencarian tersebut berakhir dengan penemuan yang mengerikan apabila mayat Dr. Moumita ditemui dalam keadaan tidak bernyawa di bilik seminar tersebut.
Bedah siasat yang dilakukan ke atas mayatnya mendedahkan bahawa beliau telah dirogol dan dicekik sehingga mati.
Lebih memilukan, mayatnya dipenuhi dengan luka dan kesan gigitan, mencerminkan penderitaan yang dialami sebelum kematiannya.
Kecederaan yang dialami Dr. Moumita amat mengerikan.
Selain mata yang berdarah dan jari yang patah, beliau juga mengalami pendarahan teruk pada bahagian kemaluan, dan kakinya ditemui dalam posisi dikepak 90 darjah.
Terdapat juga kecederaan parah pada bahagian muka, mulut, dan perutnya.
Penemuan 150mg air mani dalam tubuhnya menunjukkan lebih daripada seorang lelaki terlibat dalam jenayah kejam ini.
Sumber CBI mendakwa, kematian Dr. Moumita mungkin berkait dengan usaha untuk menutup mulutnya daripada mendedahkan rangkaian pemerdagangan organ haram yang beroperasi di hospital tersebut.
Setakat ini, 19 individu telah disoal siasat, termasuk beberapa doktor dan kakitangan rumah yang dikaitkan dengan kes ini.
Beberapa nama yang terlibat didakwa mempunyai hubungan dengan parti politik dan terlibat dalam aktiviti haram seperti perdagangan seks dan dadah.
Pihak polis kemudiannya menahan seorang lelaki yang bekerja sebagai sukarelawan polis di Kolkata, selepas menemukan alat dengar milik suspek di tempat kejadian.
Suspek mengaku bersalah atas pembunuhan tersebut, namun keluarganya cuba mempertahankannya.
Kes ini telah membangkitkan kemarahan besar di Kolkata, dengan ribuan rakyat turun ke jalan raya bagi menuntut keadilan untuk Dr. Moumita.
Protes tersebut bukan sahaja untuk menyuarakan kemarahan terhadap kejadian tragis ini, tetapi juga untuk menyampaikan mesej mengenai isu keganasan kronik terhadap wanita di India.
Doktor-doktor di Kolkata turut menyertai demonstrasi dengan menghentikan perkhidmatan mereka di agensi perubatan kerajaan sebagai tanda solidariti dan desakan untuk keadilan yang sewajarnya.
Kejadian ini telah menggegarkan masyarakat setempat dan menuntut perhatian segera terhadap keselamatan wanita, khususnya dalam sektor perubatan. – JURNAL
Sumber: Hindi Patrika