Seorang lelaki dikenali sebagai Ah Pek memaklumkan ibu mentua, adik ipar dan dua orang anaknya yang dilaporkan hilang sebelum ini telah ditemui.
Ah Pek yang berkongsi perkembangan terkini menerusi laman sosial Facebook (FB)nya itu berkata, dia kini dalam perjalanan pulang ke Kluang, Johor, dari Terengganu.
Menurut Ah Pek lagi, memandangkan kes ini sudah selesai dia akan ke balai polis untuk menarik balik kes.
Dalam pada itu, dia turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat membantunya sehingga kes ini selesai.
Terdahulu media melaporkan sebuah keluarga yang terdiri daripada seorang wanita, anak lelaki dan dua cucu dikhuatiri hilang selepas gagal dihubungi sewaktu bercuti di Pulau Perhentian pada hujung minggu lalu.
Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Abdul Rozak Muhammad berkata, Suraidah Abdul Ghani, 52, dari Kluang, Johor dan ahli keluarganya dikesan keluar dari pulau peranginan itu sejak kelmarin.
Katanya, ahli keluarga tidak dapat menghubungi wanita itu bersama anaknya, Mohamad Aiman Mohd Rafee, 21 serta dua cucunya, Sasa Alesha, 7, dan Ahmad Dhani Mohd Saiful, 4, sejak Sabtu lalu hingga hari ini. – JURNAL