Kelemahan aspek penyeliaan menjadi antara punca pembabitan pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam kes salah laku.
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay menjelaskan prosedur operasi standard (SOP) pengambilan baharu pegawai dan anggota polis sedia ada sudah cukup lengkap dan memenuhi semua kriteria.
“SOT sedia ada sudah cukup lengkap, yang paling penting adalah penyeliaan. Penyeliaan dan tindakan tanpa tolak ansur, itu yang paling penting.
“Kebanyakan mereka (anggota dan pegawai baharu) bila sebelum masuk polis tiada masalah, namun disebabkan persekitaran, cabaran besar mungkin mereka tergoda… maka terlibat (salah laku).
“Yang ada masalah, ada penyeliaan, ia perlu diperkemaskan bagi mengurangkan isu ini,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, di sini pada Selasa.
Ayoh Khan sekali lagi menegaskan bahawa PDRM tidak akan berkompromi atau bertolak ansur dengan mana-mana pegawai atau anggota yang terlibat dalam salah laku.
“Terlibat, kita ada bukti cukup, kita akan terus tuduh mereka di mahkamah,” katanya.
Kataya, walaupun isu salah laku ini hanya dilakukan segelintir warga PDRM, namun golongan itu yang mencemarkan imej dan nama baik PDRM.
“Walaupun sedikit dan beberapa peratus sahaja tetapi inilah yang mencemar imej PDRM keseluruhan. Contohnya yang terbabit (salah laku) dua peratus, yang ok 98 peratus. Sebab itu tindakan tiada tolak ansur. – JURNAL
Sumber: AWANI