Penganjuran konsert sempena Karnival Jom Heboh (KJH) di Kelantan dipantau oleh penguat kuasa Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandaraya Islam (MPKB-BRI) bermula waktu Maghrib sehingga selesai.
Pengerusi Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta negeri Mohd Asri Mat Daud, berkata beliau dimaklumkan hal itu oleh Pegawai Pelesenan MPKB-BRI.
Katanya, laporan mengenai keadaan adalah terkawal dan penganjur sentiasa mengingatkan penonton mengenai pengasingan tempat duduk (kawasan hadapan sebagai ruang keluarga, kiri perempuan dan kanan lelaki) serta berulang kali memohon penonton menjaga tatasusila sepanjang konsert.
“Ini sejajar dengan Enakmen Kawalan Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan 1998 diwartakan pada 8 November 1998 yang kemudian diperincikan melalui Garis Panduan Kawalan Hiburan 2003 menerusi Pekeliling Negeri Bilangan 4 Tahun 2003.
“Garis panduan ini diwujudkan bagi menjelaskan maksud, jenis dan kelas hiburan di bawah kawalan kerajaan negeri berdasarkan enakmen itu sebagai panduan kepada pegawai pelesenan, penggiat hiburan dan pihak awam.
“Bagi melengkapkan garis panduan kawalan hiburan yang ada, pihak MPKB-BRI mengeluarkan syarat bagi melicinkan urusan pelesenan,” katanya menerusi satu kenyataan di sini.
Beliau berkata, penyelarasan KJH Kelantan 2023 adalah di bawah pemantauan Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta negeri.
Menurutnya, permohonan konsert dipohon dan diluluskan oleh MPKB-BRI dan penganjur bersetuju dengan semua peraturan dan syarat yang ditetapkan.
“Saya berterima kasih kepada semua pihak yang menjayakan KJH dengan versi membangun bersama Islam terutama Media Prima yang memberikan jolokan KJH konsep patuh syariah sejajar dengan saranan kerajaan negeri membabitkan aktiviti bersifat Islamik seperti Forum Perdana Ehwal Islam, kuliah khas pagi Jumaat, pertandingan Azan dan bercerita serta MyQurantime.
“Saya menegaskan bahawa, Kelantan Bumi Serambi Makkah sejak sekian lama dahulu hingga kini, terbuka dan mengalu-alukan sebarang penganjuran apa jua karnival atau hiburan sekiranya penganjur boleh mengikuti syarat penganjuran.
“Apa yang lebih penting penganjur juga hendaklah mengambil kira pendekatan negeri ini yang konsisten dengan dasar membangun bersama Islam,” katanya.
Berita Harian sebelum ini melaporkan, KJH di Kelantan dirangka berteraskan program keagamaan bersesuaian dengan masyarakat Islam selain menyasarkan pengunjung mendapat ilmu baharu melalui setiap aktiviti.
Ketua Pegawai Operasi Media Prima Omnia, Datuk Mohd Efendi Omar, berkata KJH dengan kerjasama BABA’S kali ini membawa hiburan kepada rakyat negeri itu namun pada masa sama, pihaknya bertanggungjawab menyampaikan dakwah baik kepada pengunjung. – JURNAL
Sumber: BH ONLINE