Temasya Piala Asia 2023 telahpun melabuhkan tirainya dengan pasukan Qatar berjaya mempertahankan kejuaraan yang dimenangi pada 2019 dengan menewaskan Jordan pada perlawanan akhir.
Hatrik Akram Afif menerusi sepakan penalti memastikan Qatar berjaya memenangi perlawanan dengan keputusan 3-1 sekaligus mempertahankan kejuaraan.
Selepas temasya tamat, perkara seterusnya yang menjadi perhatian ialah kedudukan terkini pasukan dalam ranking FIFA dimana Piala Asia 2023 merupakan satu kejohanan yang diiktiraf oleh badan itu.
Tidak mengejutkan, Qatar adalah pasukan yang memperoleh mata terbanyak dengan 92.13 mata, selepas memenangi semua perlawanan. Mereka naik 21 anak tangga ke tangga ke-37 dunia, juga mengukuhkan kedudukan mereka dalam pasukan 5 teratas Asia. Qatar turut menjadi pasukan dengan peningkatan ranking tertinggi, bersama Arab Saudi yang turut mendaki 4 anak tangga.
Pasukan kedua yang memperoleh mata terbanyak ialah Jordan dengan 68.66 mata dan pasukan itu melonjak ke ranking ke-73 selepas berjaya mara ke perlawanan akhir. Iraq pula menjadi pasukan ketiga dengan peroleha mata terbanyak dengan 43.46 mata dan melonjak ke ranking ke-59.
Tiga pasukan iaitu India, Vietnam dan China menjadi pasukan yang mengalami kejatuhan tertinggi dari segi ranking dimana India jatuh 15 anak tangga turun ke ranking ke-117. Vietnam pula jatuh 12 anak tangga dan turun ke ranking ke-106 manakala China jatuh 9 anak tangga dan turun ke ranking ke-88.
Thailand merupakan pasukan dari Asia Tenggara dengan perolehan mata tertinggi dengan 29.83 mata dan mereka turut melonjak 12 anak tangga dengan menduduki ranking ke-101.
Malaysia pula jatuh dua anak tangga ke ranking ke-132 selepas kehilangan 12.79 mata hasil dari dua kekalahan ketika menentang Jordan dan Bahrain serta seri ketika menentang Korea Selatan. – JURNAL
Sumber: THE VOCKET