Kediaman Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin didakwa diserbu pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) kelmarin.
Sumber berkata, Ahli Parlimen Larut itu difahamkan berada di rumahnya di Damansara, Kuala Lumpur, ketika serbuan yang dilakukan sepasukan pegawai kira-kira jam 11 pagi.
Katanya, serbuan berkenaan dilakukan susulan terdapat beberapa cukai yang tidak dilaporkan.
Terdahulu, sebuah portal melaporkan, penguat kuasa LHDN turut merampas beberapa fail termasuk dokumen pemilikan aset dan akaun.
Sementara itu, sumber LHDN ketika dihubungi berkata, pihaknya kini tidak boleh mendedahkan apa juga maklumat terhadap kes yang membabitkan cukai.
“Kami tidak boleh mendedahkan apa juga maklumat ketika ini,” katanya.
Bulan lalu, Hamzah mengesahkan beliau dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi memberi keterangan berhubung satu kes pendakwaan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.
Beliau menyatakan, keterangan berkenaan dilakukan susulan pertuduhan ke atas ahli perniagaan, Sim Choo Thiam di mahkamah.
Hamzah mendakwa, kes pertuduhan di mahkamah membabitkan ahli perniagaan itu yang turut mengheret namanya, jelas bertujuan untuk merosakkan nama baiknya, BERSATU dan Perikatan Nasional (PN). – JURNAL
Sumber: BH ONLINE