Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah menyerbu beberapa butik jam tangan Swatch dan merampas barangan dari koleksi “Pride Collection” yang dikaitkan dengan komuniti LGBT.
Serbuan tersebut dilakukan pada 13 dan 14 Mei lalu di 11 cawangan jenama jam berkenaan di beberapa negeri iaitu di Pavilion Kuala Lumpur, 1 Utama, Sunway Pyramid, Setia City Mall, Mid Valley Megamall, Southkey, Sunway Putra Mall, Sogo KL, Queensbay, Fahrenheit 88 and Suria Sabah, lapor The Edge.
Manakala lima lagi cawangan telah diberikan amaran iaitu KTCC (Terengganu), Aeon KB, Aman Central Kedah, City Square and Viva City Kuching.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Swatch Group Nick Hayek Jr, serbuan dan rampasan melibatkan koleksi jam tangan ‘Pride Collection’ tersebut amat mengecewakan dan mengejutkan.
Ini kerana pihaknya sentiasa menyokong kepelbagaian dan inovasi yang ditonjolkan.
“Swatch berbangga menjadi kanvas pada tangan pemakai jam jenama kami, yang terdiri daripada pelbagai jenis individu di serata dunia serta artis yang bekerjasama dengan kami.
“Kreativiti dan rampaian warna yang menghiasi kualiti jam keluaran Switzerland ini membuatkan jenama ini diminati. Kami bertegas bahawa koleksi jam tangan kami yang menggunakan warna pelangi dengan mesej kedamaian dan kasih sayang boleh membahayakan sesiapa sahaja.
“Sebaliknya, Swatch sentiasa mempromosikan mesej positif berkaitan kegembiraan dalam hidup. Mesej ini tidak bersifat politik,” kata Nick Hayek.
Malah Nick Hayek turut mempersoalkan adakah Bahagian Penguatkuasa dan Kawalan, Kementerian Dalam Negeri akan turut merampas “pelangi yang terdapat di langit”.
“Ini bukan politik. Kami tertanya-tanya adakah Bahagian Penguatkuasa Dan Kawalan, KDN akan ‘merampas’ pelangi-pelangi semulajadi yang muncul ribuan kali dalam setahun di langit Malaysia,” kata Nick Hayek lagi.
Difahamkan Swatch sedang membuat rayuan kepada KDN agar semua koleksi jam yang dirampas akan dipulangkan semula.
Menerusi carian kami, pautan pada laman Swatch Malaysia membabitkan koleksi Pride tidak dapat dibuka seperti laman Swatch di negara lain.
Namun terdapat beberapa produk yang masih disiarkan di laman tersebut antaranya jam “Proudly Red” yang merupakan salah satu koleksi khas Pride 2023.
Terdahulu jenama Swatch tular di media sosial selepas seorang pengguna Facebook berkongsi foto beberapa koleksi jam tangannya yang bertemakan pelangi.
Ianya rentetan dari bantahan segelintir pihak berhubungan penganjuran konsert kumpulan muzik antarabangsa, Coldplay yang bakal berlangsung pada November tahun ini.
“Tak payah tunggu Coldplay. Siapa pakai jam Swatch tu boleh buang sekarang!” tulisnya di Facebook. – JURNAL