Kementerian Dalam Negeri (KDN) akur dengan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang memerintahkan kerajaan memulangkan 172 jam tangan Swatch, termasuk siri Pride Collection, yang dirampas tahun lalu.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, menyatakan bahawa tindakan lanjut termasuk kemungkinan mencabar keputusan itu akan dipertimbangkan selepas laporan penuh diterima.
“Biasanya saya akan diberikan taklimat lengkap asas penghakiman keputusan itu. Tapi reaksi awal saya ialah KDN, seperti semua pihak, apabila keputusan mahkamah dibuat, ia perlu dihormati,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Bulanan KDN, hari ini.
Beliau turut menegaskan bahawa Jabatan Peguam Negara yang mewakili KDN akan meneliti asas keputusan tersebut.
“Kita kena tengok dulu asas-asas penghakiman sebelum membuat sebarang tindakan lanjut,” tambahnya.
Dalam keputusannya, Hakim Amarjeet Singh memutuskan bahawa rampasan tersebut melanggar undang-undang. Mahkamah mengarahkan kerajaan untuk memulangkan semua jam tangan itu kepada The Swatch Group (Malaysia) Sdn Bhd dalam tempoh 14 hari bermula hari ini.
Rampasan terhadap koleksi itu sebelum ini mencetuskan kontroversi, namun keputusan mahkamah hari ini menandakan perkembangan signifikan dalam isu tersebut. – JURNAL
Sumber: Kosmo!