Seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun maut akibat dilanggar sebuah kenderaan pacuan empat roda (4WD) ketika bermain skuter di satu kawasan kediamannya di Johor Bahru.
Ketua Polis Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian pada jam 6.30 petang Jumaat lalu itu dan memaklumkan pihaknya sedang menjalankan siasatan.
“Pemandu kenderaan pacuan empat roda yang berusia 32 tahun sedang disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya hari ini.
Terdahulu, satu rakaman video berdurasi 21 saat memaparkan kanak-kanak berkenaan yang sedang bermain skuter dilihat berhenti di kawasan persimpangan, sebelum sebuah pacuan empat roda berwarna hitam terus merempuhnya.
Kanak-kanak terbabit dipercayai maut di tempat kejadian, manakala pemandu kenderaan tidak mengalami sebarang kecederaan. – JURNAL
Sumber: BERNAMA