Kanak-kanak yang pernah tular kerana kanser mulut Germ Cell Tumor, Ainul Mardhiah Ahmad Safiuddin kini dilaporkan semakin baik dan sangat berbeza dengan sebelum ini.
Bapanya Ahmad Safiuddin Abdul Razak berkata, anaknya itu kini kelihatan lebih ceria dan lebih aktif berbanding sebelum ini.
Ahmad Saifudin berkongsi mengenai perkembangan terkini anaknya itu menerusi laman sosial Facebook.
“Ainul tengah tunggu nama kena panggil. Seminggu dua kali Ainul buat terapi sonotron di Klinik Dr. Fauziah, Duyong Melaka.
“Alhamdulillah, banyak improvement, Ainul ni guna trachy, dengan keadaan dia yang masih belum lancar menelan lagi, so dalam paru paru dia memang banyak kahak,” katanya.
Mengulas lanjut, Ahmad Safiuddin berkata, terapi Sonotron dapat bantu cairkan kahak.
“Nampak perbezaannya dulu dan sekarang,” katanya.
Sebelum ini, Ainul Mardhiah beberapa kali dimasukkan ke hospital dan dirawat di Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU) kerana jangkitan kuman serta turut mengalami serangan sawan berulang beberapa kali.
Ainul juga dibantu Doktor Nur Amalina Che Bakri untuk menjalani pembedahan di London pada 2019 bagi membuang tumor seberat 200 gram. – JURNAL