Seorang kanak-kanak perempuan meninggal dunia selepas dipercayai lehernya tertusuk besi ampaian di rumah keluarganya di apartmen di Batu Caves, di sini, Sabtu lalu.
Difahamkan, ketika kejadian, mangsa yang berusia lima tahun sedang bermain dengan besi ampaian di ruang dalam rumah.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, kejadian pukul 2.30 petang itu disedari ibu mangsa 40 tahun, selepas dimaklumkan oleh seorang anaknya yang melihat mangsa terbaring berlumuran darah.
Kata Hussein, mangsa disahkan meninggal dunia semasa menerima rawatan di Hospital Tunku Azizah (HTA), Kuala Lumpur.
“Semasa bermain, mangsa tertusuk besi ampaian di bahagian leher.
“Mangsa dibawa ke klinik berhampiran dan kemudian dihantar ke HTA, tetapi disahkan meninggal dunia,” katanya.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001. – JURNAL
Sumber: KOSMO!