Tiada keistimewaan untuk menjadikan Kampung Baru Cina di Selangor sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO kerana ia adalah kawasan penempatan yang dibuka untuk mengekang kaum Cina daripada menyokong Parti Komunis Malaya (PKM) pada 1948.
Pakar Sejarah, Profesor Datuk Dr Ramlah Adam berkata, British mewujudkan kawasan ‘new village’ atau kampung baru bagi kaum Cina di Tanah Melayu adalah untuk mengelak daripada menyokong PKM 76 tahun lalu.
Justeru, beliau menjelaskan, cadangan menjadikan Kampung Baru Cina di Selangor sebagai tapak UNESCO dibimbangi akan membuka kembali sejarah gelap segelintir orang Cina yang pernah menyokong Parti Komunis Malaya (PKM).
“Adalah tidak relevan sekiranya kita mahu wartakan kampung baru ketika ini…ini tidak logik.
“Kampung baru berkenaan bukan warisan tetapi ia satu sejarah gelap orang Cina yang sekiranya ditimbulkan semula dibimbangi akan mencetuskan rasa tidak senang dalam kalangan masyarakat Malaysia ketika ini.
“Jadi persoalannya sekarang adalah sekiranya kampung baru Cina mahu diwartakan sebagai kawasan warisan apakah keistimewaannya kerana kawasan berkenaan tidak ada kuil besar atau apa-apa monumen bersejarah,” katanya kepada BH, hari ini.
Terdahulu, media sebelum ini melaporkan, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming mencadang untuk mencalonkan Kampung Baru Cina di Selangor sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO bagi mengiktiraf kepentingan budaya dan sejarah penempatan itu.
Susulan itu, katanya, Kerajaan Pusat dan Kerajaan Selangor akan membincangkan perkara terbabit dengan lebih teliti membabitkan kampung yang diteroka sejak tahun 1948 itu.
Mengulas lanjut, Ramlah berkata, kebanyakan kampung baru berkenaan kini sudah menjadi kawasan penempatan yang lebih besar dengan adanya aktiviti sosio ekonomi yang dijalankan.
“Generasi lama di kawasan berkenaan sekarang sudah tiada dan yang ada kini di kampung baru berkenaan hanya generasi baru atau golongan muda yang menjalankan perniagaan masing-masing.
“Banyak juga rumah kayu atau papan telah dirobohkan dan dibina semula sebagai rumah batu dan perkara itu tidak menjadi keistimewaan kepada sesuatu kampung baru terbabit.
“Kalau di Georgetown, Pulau Pinang dan Melaka itu baru betul ada warisannya, tetapi kampung baru berkenaan tidak nampak di mana nilai warisannya kerana penempatan berkenaan akan sentiasa berubah sosio ekonominya dari semasa ke semasa,” katanya.
Beliau berkata, sejarah kewujudan kampung baru berkenaan adalah untuk mengekang kaum Cina daripada menyokong PKM ketika itu dan sememangnya sejarah itu sendiri tidak boleh dinafikan lagi oleh mana-mana pihak ketika ini. – JURNAL
Sumber: BERITA HARIAN